Plaza tol baru Bukit Kayu Hitam hanya kutip bayaran hingga 31 Disember, kata PLUS


Looi Sue-Chern

Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah itu yang digunakan pengguna jalan raya memasuki Thailand adalah salah satu daripada empat tol yang dimansuhkan Putrajaya bermula tahun depan seperti diumumkan dalam bajet. Tiga lagi adalah tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan, dan tol Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL). – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.,

PLUS Malaysia Bhd mengesahkan yang bayaran tol hanya dikutip di plaza tol baru Bukit Kayu Hitam sehingga 31 Disember 2017.

Syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara itu menjelaskan kekeliruan mengenai plaza tol baru di Bukit Kayu Hitam yang diperkenalkan dengan operasi plaza tol akan dipindahkan ke lokasi baru bermula jam 6 pagi esok.

“PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ingin memaklumkan bahawa operasi Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di KM0.65 di Lebuhraya Utara-Selatan akan berpindah ke lokasi baharu di KM1.0 mulai jam 6:00 pagi, 1 November 2017.

“Namun demikian, selepas beroperasi di lokasi baharu pada tarikh tersebut, kutipan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2017 sahaja.

“Ini berikutan pengumuman pemansuhan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam seperti diumumkan Perdana Menteri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018,” kata PLUS dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pemindahan plaza tol itu adalah sebahagian daripada projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam. Pembukaan plaza tol baru itu bersempena dengan pembukaan kompleks itu.

PLUS juga mengatakan bermula esok, plaza tol itu akan beroperasi daripada jam 6 pagi sehingga 2 pagi setiap hari. Sebelum ini, operasi tol itu dihentikan pada tengah malam.

Gambar banting mengumumkan plaza tol Bukit Kayu Hitam akan beroperasi di lokasi baru bermula esok tular di media sosial sejak semalam.

Pengguna media sosial yang tidak menyedari pemindahan kompleks baru ICQS mempersoalkan pengumuman Najib pada Bajet 2018 Jumaat lalu dan menyifatkan penghapusan tol itu satu pembohongan.

Nafi Isbat di Facebooknya mengatakan: “Najib kata plaza tol Bukit Kayu Hitam di tutup tapi rupanya ada yang baru…”

“Mansuh yang lama buat yang baru..bijak, bijak,” tulis seorang lagi pengguna Facebook Gorgom Ganaz.

Beberapa orang lagi pengguna menyedari pemindahan ICQS itu seperti Mohd Syahril Mahadzir yang mengatakan PLUS hanya berpindah ke pejabat baru.

“Tol tu dalam kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. Kompleks tu tengah naik taraf. Jadi bila siap, depa akan pindah kompleks baru tu 1 November ni lah. Jadi sekali dengan plaza tol tu kena pindah sekali la..bukannya bermaksud nak buka tol baru..tapi nak buka office PLUS baru,” tulisnya.

Tol di Kedah itu yang digunakan pengguna jalan raya memasuki Thailand adalah salah satu daripada empat tol yang dimansuhkan Putrajaya bermula tahun depan seperti diumumkan dalam bajet. Tiga lagi adalah tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan, dan tol Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL).

PLUS memiliki 94 plaza tol di seluruh negara. Antara lebuhraya di bawah operasinya adalah Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen