Masyarakat Portugis bimbang perkampungan mereka 'diceroboh'


Ravin Palanisamy

Pengendali restoran di Medan Selera Kampung Portugis di Ujong Pasir yang didirikan oleh MBMB bimbang orang luar menyalahguna sistem untuk mengambil alih perniagaan di perkampungan mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Disember, 2019.

MASYARAKAT Portugis di Melaka bimbang orang luar menyalahguna sistem untuk mengambil alih perniagaan di perkampungan mereka.

Mereka melihat “pencerobohan” ini lambat laut akan menghakis budaya dan tradisi yang sekian lama dipertahankan.

Kata mereka lagi, orang luar ini menyalahguna kelemahan dalam sistem bagi pengendalian restoran di Medan Selera Kampung Portugis di Ujong Pasir yang didirikan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Regedor (Ketua Kampung) Perkampungan Portugis, Peter Thomas Gomes memberitau The Malaysian Insight orang luar ini menyalahguna sistem dengan menggunakan kaedah ‘Alibaba’.

“Pengendali baharu setuju buat perjanjian dengan pengendali asal melalui peguam. Pengendali asal ini akan menjadi rakan kongsi pengendali baharu supaya MBMB tak tahu tentang perjanjian ini.

“Ikut undang-undang, mereka tak boleh jual atau sewa kedai kepada orang lain sebab kedai milik majlis perbandaran.

“Jadi, kelemahan macam ini beri mereka kelebihan untuk melangkau perjanjian dengan MBMB,” kata Gomes.

Menurut Gomes, perjanjian sedemikian sudahpun menjejaskan pengendali restoran Potugis yang sah, dan secara perlahan merosakkan warisan budaya mereka.

Walaupun beliau mengakui tiada klausa dalam perjanjian MBMB yang menyebut restoran mestilah dikendalikan oleh masyarakat keturunan Portugis, Gomes menyalahkan segelintir masyarakat di perkampungan itu yang ‘menjualnya’ kepada orang luar.

“Ada penduduk di sini yang wariskan perniagaan dari satu generasi ke satu generasi. Mereka tahu nilai warisan kami.

“Dan ada juga yang tak boleh nak bersaing dalam perniagaan, jadi mereka sewakan kedai kepada orang lain. Ini menjejaskan periuk nasi orang-orang kami sebab kita akan hilang kerja. Lama-kelamaan nanti warisan budaya kami juga hilang,” jelas Gomes.

Pengendali asal restoran akan menjadi rakan kongsi pengendali baharu supaya MBMB tidak tahu tentang perjanjian 'Alibaba' mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Disember, 2019.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Portugis, Jacinta Lazaroo turut senada dengan Gomes, bahawa masalah ini berpunca dari kalangan mereka sendiri yang menyewa kedai kepada orang luar.

Lazaroo mendakwa pengambilalihan perniagaan ini melibatkan jumlah wang yang banyak dan mereka tiada kuasa untuk ambil sebarang tindakan. Beliau berkata mereka yang mengambil wang tersebut perlu memulangkan semula. Lazaroo juga berkata kerajaan negeri masuk campur serta menyelesaikan isu ini kerana pengendali baharu ini sukar untuk dibawa berbicang.

“Orang kami yang patut dipersalahkan. Kalau tak beri kebenaran, macam mana pengendali baharu ini boleh berniaga? Mereka tak akan dapat berniaga di sini melainkan orang kami sendiri yang beri.

“Susah nak berbincang dengan pengendali baharu ini. Mereka ini degil. Kalau kita masuk campur, kita dalam bahawa. Jadi, kepada mereka yang dah terima duit, tolonglah pulangkan dan ambil semula kedai anda. Ataupun, kerajaan negeri masuk campur untuk selesaikan perkara ini,” kata wanita berusia 56 tahun itu, yang juga wanita pertama mengentuai perkampungan Portugis.

Bagi pengendali restoran, Gerard Danker pula, orang luar tidak boleh dibenarkan berniaga di perkampungan masyarakat Portugis itu kerana hanya pewaris yang patut diberi hak berniaga.

Menurut Danker, beliau tiada masalah jika perniagaannya diberi kepada ahli keluarga atau keluarga lain dalam komuniti mereka tetapi tidak kepada orang luar.

“Di melaka, orang Cina ada Jonker Street, orang Melayu ada Dataran Pahlawan, orang India pula ada Little India. Kami, komuniti kecil di negeri ini, hanya ada ini sahaja. Itu pun, sekarang nak dirampas.

“Kalau mereka beri kedai kepada orang Portugis lain di sini, tak apa. Tetapi kalau kepada bukan orang Portugis memang tak boleh.

“Apa sebab beri orang lain berniaga di tempat mereka? Orang yang datang sini sepatutnya kenali budaya, cara hidup dan warisan orang Portugis Malaysia,” kata Danker. – 24 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen