Pengguna media sosial serang Facebook Air Selangor


Noel Achariam

Air Selangor sebelum ini mengumumkan bahawa loji rawatan air Sg Semenyih akan terus ditutup sehingga masalah pencemaran air diselesaikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Disember, 2019.

PENGGUNA media sosial hari ini menyatakan tidak puas hati terhadap Air Selangor Sdn Bhd kerana terpaksa menghadapi satu lagi gangguan air yang menjejaskan lebih 300,000 isi rumah.

Air Selangor sebelum ini mengumumkan bahawa loji rawatan air Sg Semenyih akan terus ditutup sehingga masalah pencemaran air diselesaikan.

Walau bagaimanapun syarikat air itu belum memberikan tarikh akhir loji itu pulih dan beroperasi semula kerana mereka sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Ramai pengguna menghantar maklum balas di Facebook Air Selangor untuk melepaskan kekecewaan mereka kerana terpaksa menghadapi pemotongan air berulang.

Pengguna Facebook, Joshua Chwee berkata, tiada alasan untuk Air Selangor menutup air dan menjejaskan hampir 90% negeri Selangor.

“Kita boleh membina bangunan tinggi dan laluan MRT tetapi tidak dapat mengekalkan infrastruktur keperluan asas yang merupakan bekalan air.

“Ini adalah hak asasi manusia untuk bekalan air bersih. Bukan kali pertama ini berlaku dan tidak ada pelan mitigasi atau anggaran masa untuk rakyat negeri Selangor rasa perit.

“Biarkan semua orang tertanya-tanya mengenai situasi ini. Apa yang boleh saya kata, (ini adalah) satu cara kerja tidak kompeten dalam mengurus dan merancang sistem air Malaysia,” katanya.

Chwee juga mempersoalkan siapa yang akan membayar kos tambahan untuk makan di luar, yang mahal dan kos orang yang terpaksa keluar untuk menadah air.

“Kos tambahan untuk membeli air untuk minum? Bagaimana dengan hospital yang tidak mempunyai air untuk merawat pesakit kecemasan dan air untuk mencuci atau membersihkan peralatan ???

“Ini adalah tindak balas berantai (akibat kerja yang) tidak kompeten, jadi saya bertanya kepada Air Selangor, apa yang telah kamu lakukan selama beberapa tahun yang lalu???” katanya lagi.

Seorang lagi pengguna Mark Robert yang bakal meraikan Krismas bertanya bila air akan kembali dibekalkan ke semua kawasan yang terjejas.

“Ini salah dari pihak anda, pencegahan mesti diambil kerana ini bukan sahaja kali pertama ia berlaku. Apakah langkah-langkah yang diambil dari gangguan air terakhir?

“Jangan beritahu kami di sini bahawa yang terakhir adalah berbeza seperti paip bocor, Jika itu berlaku, apakah langkah-langkah yang anda ambil?.

“Ada banyak keluarga di sini yang mempunyai bayi, anak-anak, warga emas dan ramai di antara kita sedang merayakan Krismas, tidak ada persediaan (persiapan) yang boleh dilakukan tanpa air. Tolong bantu kami semua.

“Beritahu kami di sini bilakah air akan disambung semula ke semua kawasan yang terjejas?”

Pengguna Facebook, Kim Fong berkata: “Kami mahu air pada malam ini !! Air yang kami ambil dari lori tidak cukup untuk digunakan.

“Masalah ini harus dihentikan dengan baik pada tahun 2020. Semua  yang melakukan sabotaj di empangan air akan dihukum secara semula jadi!!”

Pengguna Jared Vincent Tan berkata: “Bodohnya! Potongan air secara mendadak akibat pencemaran air semasa musim perayaan?

“Tak guna! apa yang kerajaan lakukan? Serius tidak ada pertimbangan!”

Sementara pengguna Melvyn Ong ingin mengetahui bila bekalan air akan pulih.

“Berikan kami ETA (anggaran masa) bila bekalan air akan disambung semula. Anda potong bekalan tanpa maklumkan dan meminta kami untuk menadah air? Kenapa saya perlu bayar perkhidmatan yang buruk?” – 22 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen