E-hailing dan promosi KL Kota Buku


Zainal Rashid Ahmad

MENGGUNAKAN khidmat e-hailing sentiasa memberikan banyak pengalaman baharu. Selain cepat dan selesa, interaksi dengan pemandunya meluaskan atmosfera pemikiran kita.

Saya anggap bonus, kalau bertemu pemandu dalam kalangan anak muda yang berpengetahuan luas.

Rabu lalu, saya sempat menggunakan khidmat pengangkutan ekonomi gig ini dari Bandar Sri Permaisuri Cheras ke Putrajaya.

Perjalanan memakan masa 40 minit dengan sedikit kesesakan.

Azran Ismail, pemandu muda ini, lulusan Teknologi Maklumat kolej swasta di Cyber Jaya. Seorang daripada lebih 162 ribu graduan yang masih mencari kerja.

“Setiap hari berapa jam pandu e-hailing?” Tanya saya.

“Sepuluh jam sehari, encik” jawabnya.

“Kalau cuti buat apa?” Tanya saya.

“Baca buku,” jawabnya.

Sebagai penulis yang tiga dekad terbabit dengan sastera, tentulah saya berasa sangat gembira kerana bertemu seorang peminat buku.

Hari ini, pengalaman menemui anak muda yang menghabiskan hari minggu dengan membaca buku tentunya satu pengalaman langka.

Promosi karya dalam interaksi e-hailing

Kami berbual tentang Sasterawan Negara A Samad Said dan karya hebat Nusantara. Saya juga sempat mempromosi pada Azran karya Pramoedya Ananta Toer.

Malah menyarankan nama-nama pengarang muda tempatan seperti Wan Nor Azriq, Lutfi Ishak dan Roslan Djomel. Azran nampak berminat.

“Saya suka mengulang baca karya Toni Morison bertajuk ‘Beloved’ dan novel ‘Invisible Man’ tulisan Ralph Ellison,” katanya.

Azran juga menyentuh novel thriller “The Chemist” karya Stephenie Meyer dan “The Immortalists” karya Chloe Benjamin.

Setelah ditanya mengenai karya tempatan dan serantau, Azran mengetahui serba-sedikit karya Pramoedya.

Katanya, dia kagum pada suara kemanusiaan penulis Indonesia itu, walaupun sangat berbau politik.

Buku roma saya mulai menegak. Anak muda berusia 26 tahun ini memberi respons segar ketika berbual mengenai karya-karya besar dunia.

Malah, Azran mengenali serba sedikit nama Pramoedya sebagai penulis sohor Indonesia. Latar karya sastera penulis kelahiran Blora itu dianggap antara “taring sastera” paling berbisa.

Ketika sastera moden bergema dengan tema narsis dan “self centric”, saya amat meraikan minat anak muda ini.

Sedikit pengetahuannya pada teras sastera Melayu. Apa lagi karya yang berasaskan politik negara bangsa.

Pramoedya menulis empat novel tetraloginya berlatarkan sejarah awal nasionalisme Indonesia pada awal abad ke-20.

“Novel Bumi Manusia”, “Anak Semua Bangsa”, “Rumah Kaca” dan “Jejak Langkah” ditulis ketika Pramoedya ditahan di Pulau Buru pada 1965 hingga 1978.

Saya mengumpan perbualan ke arah karya Filipina. Bertanya sama ada Azran membaca karya Francisco Sionel Jose.

“Sionel Jose menulis banyak novel mengenai susur galur jati diri bangsa Filipina. Karya-karyanya juga sarat mengkritik politik diktator Ferdinand Marcos,” kata saya.

Saya mempromosi “The Pretenders” pada 1962, “My Brother, My Executioner” (1973), “Mass” (1974), “Tree” (1974) dan “Po-on” (1984).

Selain puluhan karya Sionel Jose yang diterjemah ke 22 bahasa dunia.

Melihat responnya pada topik sastera tempatan agak mendatar, saya memilih bertanya dengan jujur:

Kurang terdedah karya tempatan

“Tak baca karya Malaysia?” Tanya saya.

Azran tersenyum dan saya faham dia tidak ada idea untuk menjawab soalan saya.

“Kalau nanti kamu minat Pramoedya dan Sionel Jose, tentu kamu akan suka novel A Samad Said, S Othman Kelantan, Shahnon Ahmad dan Anwar Rithwan,” kata saya.

Azran segera menganggukkan kepala. Saya tidak berkecil hati dengannya. Saya yakin, dia pernah mendengar nama-nama Sasterawan Negara dan karya-karya besar Malaysia.

Anak muda asal Sitiawan, Perak ini mungkin tidak terdedah pada promosi karya-karya hebat tempatan.

Malah, tidak sedar “tenaga politik” dan “suara kemanusiaan” dalam novel arus perdana tempatan sudah lama sarat dengan muatan setara karya Barat.

Azran hanya perlu mendapatkan novel “Hujan Pagi” karya Pak Samad, “Ranjau Sepanjang Jalan” (Shahnon Ahmad), “Jogho/Juara” (S Othman Kelantan) dan “Naratif Ogonshoto” (Anwar Rithwan).

Selain itu saya juga terfikir, alangkah baik kalau peminat buku seperti Azran dijadikan agen promosi buku dan karya sastera. Apa lagi, khidmat pandu seru memiliki 60 ribu pemandu.

Kalau kita ada lima ribu pemandu seperti Azran, negara akan mampu mempromosi buku-buku tempatan melalui perbualan dalam perjalanan.

Alangkah baik, sepanjang Kuala Lumpur Kota Buku Dunia (KLWBC), budaya ruang waktu dalam kenderaan pandu seru dimeriahkan dengan gaya hidup berbual mengenai buku.

Kita perlukan kualiti komunikasi ketika berada dalam kenderaan. KLWBC akan jadi lebih dinamik secara real sekiranya buku dijadikan topik berinteraksi.

Apa lagi menjelang pengisytiharan KLWBC 2020 pada 23 April nanti.

Konsep interaksi antara asset visibility penting untuk kempen merealisasikan interaksi menjadikan buku sebagai gaya hidup anak muda.

Terlalu banyak acara pesta-pestaan, hanya akan menjadikan suasana KLWBC bermotif fizikal. Sedangkan semangat buku dan budaya membaca berteraskan minda dan spiritual.

Kita mahu, buku diperbualkan di setiap tempat. Anak muda macam Azran patut menjadi sebahagian aset mempromosi agenda perbukuan negara.

Magis buku mampu mencipta fenomena

Hidup bersama buku harus menjadi momen indah. Kalau pun tidak seindah seperti lagu “Buku Ini Aku Pinjam” karya Iwan Fals.

Iwan Fals menulis kisah cinta sepasang remaja yang mekar dalam sebuah buku setelah bertembung di depan kantin sekolah.

Atau, seindah momen hubungan Rangga dan Cinta dalam filem “Ada Apa Dengan Cinta” (AADC). Momen indah buku berjudul “Aku” karya Sjumanjaya mencetuskan fenomena luar biasa.

Filem AADC terbit pada tahun 2000 – selain menjadi filem pecah panggung, ia menghidupkan Chairil Anwar (1922-1949). Filem ini membuatkan penyair mati muda ini diburu puisi-puisinya digilai remaja Indonesia.

Ini berlaku selepas setengah abad Chairil Anwar meninggal dunia. Hingga kini - AADC menjadikan puisi-puisi indah sebagai sebahagian kehidupan remaja Indonesia.

Buku dan karya sastera sentiasa ada magisnya. Kita hanya perlu detik dan strategi yang tepat dan konsisten untuk mencipta fenomena membaca.

Asalkan kita tidak beku dengan strategi pesta-pestaan atau diskusi/seminar warisan dekad 70-an. – 22 Disember, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen