PRODUKTIVITI pekerja di Sabah dan Sarawak tidak setanding dengan tahap di Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadikan kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 sebagai tidak munasabah, kata Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (SME) Sabah Foo Ngee Kee.
Katanya persekitaran ekonomi dan perniagaan yang berbeza serta gaji minimum dengan kenaikan RM100 bagi setiap pekerja berkuat kuasa 1 Januari, akan memberi kesan drastik.
Foo berkata beliau menjangkakan banyak SME akan membuat penstrukturan semula akibat kenaikan gaji minimum itu.
Jelasnya produktiviti pekerja di kedua-dua negeri itu amat berbeza berbanding di semenanjung selain perbezaan tahap kemahiran dan keupayaan bekerja.
“Gaji RM1,200 sesuai untuk pekerja di semenanjung tetapi akan memberi bebanan kepada majikan di negeri Borneo,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Foo membuat perbandingan produktiviti murid sekolah di kawasan bandar dan luar bandar. Katanya kanak-kanak dari setiap kawasan mempunyai kekuatan dan kelebihan yang berbeza.
Situasi yang sama juga berlaku kepada pekerja, katanya.
Jelasnya satu lagi faktor adalah kos logistik untuk SME di Sabah ekoran perhubungan jalan yang kurang baik serta lokasi terpencil.
“Sabah mempunyai kawasan penduduk yang berjauhan dan kos pengangkutan amat mahal. Perniagaan di sini terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk logistik.”

Pada 18 Disember lalu, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan kenaikan gaji minimum RM1,200 berkuat kuasa 1 Januari 2020 di 57 bandar.
Kenaikan sebanyak RM100 itu adalah lanjutan daripada gaji minimum RM1,100 yang dilaksanakan di seluruh negara pada Januari awal tahun ini.
Di Timur Malaysia, kawasan terlibat termasuk Kuching, Miri, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Langkah itu dilaksanakan bagi memenuhi janji kerajaan Pakatan Harapan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.
Foo bagaimanapun berkata kerajaan perlu menumpukan perhatian untuk meningkatkan latihan dan produktiviti pekerja di Sabah sebelum melaksanakan gaji minimum di negeri itu.
“Pekerja di negeri ini masih belum mencapai standard dan hanya segelintir syarikat saja mempunyai keupayaan sedemikian.
“Kita menggesa kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi terlebih dahulu. Kemudian baru kita lihat keperluan untuk menetapkan gaji minimum,” katanya.
“Bagi SME, kos operasi sudah tinggi dan langkah ini hanya menambah beban. Bagaimana kami boleh meneruskan operasi?”
Katanya selain membuatkan SME menstruktur semula atau menutup operasi, kenaikan gaji minimum akan menyebabkan usahawan baharu terkekang untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.
“Bukan kita tidak setuju kenaikan gaji minimum, tetapi kerajaan perlu menilai semua aspek sebelum mengumumkannya.”

Foo berkata kebanyakan SME di Sabah hanya mempunyai beberapa ribu ringgit dalam simpanan dan sering berdepan dengan cukai dan perubahan kos.
Sebagai contoh katanya jika sebuah SME Sabah mengambil 10 hingga 20 pekerja dan membayar tambahan RM100 sebulan, ia akan menambah kos ribuan ringgit bagi kos operasi pada setiap bulan.
Katanya langkah itu juga akan memberi kesan buruk selain membuatkan pekerja mendapat bayaran yang lebih baik.
Ini kerana katanya pekerja berisiko hilang pekerjaan jika majikan beralih arah kepada sistem jentera atau mesin untuk menjimatkan kos daripada mengupah tenaga buruh.
“Kos tambahan bagi setiap pekerja adalah RM100 sebulan atau RM1,200 setahun. Jadi jika ada 10 pekerja, maka majikan perlu membayar RM12,000 setahun.
“Jika produktiviti tidak bertambah atau mengambil masa setahun atau dua tahun bagi mendapatkan semula wang, kenapa tidak membeli sebuah mesin untuk melakukan kerja yang sama?
“Majikan mungkin mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk mengurangkan kos,” katanya. – 21 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen