Jangan tindas orang lain untuk bentuk identiti bersama Islam, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, orang Islam juga tidak boleh memaksakan budaya mereka kepada orang lain, kerana Al-Quran sendiri mengakui dan menerima manusia mempunyai pelbagai kepercayaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

ORANG Islam mempunyai identiti bersama tetapi tidak boleh menghakimi satu sama lain berdasarkan nilai yang dangkal, kata Dr Mahathir Mohamad pada hari terakhir Sidang Kemuncak KL 2019, hari ini.

Katanya lagi, orang Islam juga tidak boleh memaksakan budaya mereka kepada orang lain, kerana Al-Quran sendiri mengakui dan menerima manusia mempunyai pelbagai kepercayaan.

“Kita semua orang Islam dan selaku orang Islam kita ada nilai tertentu dalam budaya kita. Antaranya adalah Islam bukan hanya agama tetapi ia cara hidup.

“Tetapi jika awak mahu berpakaian berbeza atau tutup muka atau simpan janggut, ia hak awak. Tetapi kita tak boleh langgar nilai tertentu. Bila kita menghakimi, kena adil. Itu adalah nilai Islam,” katanya pada sidang media selepas sidang kemuncak itu.

“Saya orang Islam tetapi saya tidak ada janggut dan itu tak buatkan saya kurang Islam. Seperti mana saya pakai pakaian barat tak menjadikan saya lelaki Inggeris.”

Dr Mahathir berkata demikian ketikan menjawab soalan tentang identiti bersama orang Islam.

Sidang kemuncak itu dihadiri pemimpin dan ilmuwan Islam seluruh dunia termasuklah dari Turki, Iran dan Qatar. Ia membincangkan pelbagai masalah membelenggu dunia Islam sekarang, termasuklah perpecahan, keganasan, Islamofobia dan kelemahan tadbir urus.

Dr Mahathir juga mengingatkan orang Islam supaya berhati-hati tidak memaksakan budaya mereka kepada orang lain dalam usaha membina identiti bersama Islam.

“Dalam Quran, ada dinyatakan tentang orang yang berbeza kepercayaan. Bagi mereka, agama mereka, dan bagi kita agama kita. Kita bersolat dengan cara kita dan mereka dengan cara mereka. Tetapi, jika mereka Islam, kita solat dengan cara sama. Itulah yang kita maksudkan dengan budaya bersama.”

Sidang Kemuncak KL selama empat hari itu berdepan kecaman Organisasi Kerjasama Islam (OIC) beribu pejabat di Arab Saudi. OIC menegaskan tidak boleh ada platform lain untuk membincangkan isu penganut dan negara Islam.

Arab Saudit tidak hadir dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Pakistan Imran Khan yang menarik diri pada saat-saat akhir.

Pada sidang itu, Dr Mahathir juga berulang kali menegaskan yang sidang itu bukan bertujuan untuk merendahkan OIC atau meminggirkan negara Islam tertentu.

Beliau turut menegaskan yang keputusan Arab Saudi untuk tidak hadir adalah hak mereka.

“Tidak ada paksaan dalam Islam. Jika mereka mahu datang, mereka datang dan jika tak mahu, itu hak mereka untuk putuskan apa mereka mahukan.

“Persidangan ini menarik kalau bukan pun ketua kerajaan tetapi wakil mereka dan ilmuwan dunia Islam.

“Dan kami agak berpuas hati dengannya dan perbincangan tertumpu kepada bagaimana kita boleh membantu diri sendiri berbanding cuba dapatkan orang lain untuk tidak buat sesuatu perkara.

“Kita mahu menguatkan dan berpadu. Itu tujuan kita. Apa yang orang lain mahu kata, itu hak mereka,” katanya lagi.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana Imran Khan tidak dapat hadir, tetapi percaya yang Pakisatan boleh menjadi rakan dalam menyelesaikan kebimbangan Islam.

“Kita akan sangat gembira jika Imran Khan datang tetapi kerana sebab tersendiri, beliau tidak dapat hadir.

“Kami agak sedih beliau tidak datang. Di PBB, kami bertiga berjumpa- (Presiden Turki Reccep Tayyip) Erdogan, Imran dan saya- dan rasa kami perlu bekerjasama. Beliau tidak dapat datang kali ini tetapi mungkin boleh datang lain kali.” – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen