MENGELUARKAN penganut Islam dari undang-undang kewarganegaraan adalah tidak adil, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung pindaan India terhadap akta kewarganegaraannya, walaupun mendapat tentangan warga India.
“Itu pendapat mereka dan pandangan saya adalah pendapat saya. Sama ada anda mahu mempercayai saya atau orang lain, anda bebas berbuat demikian,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menutup Sidang Kemuncak KL 2019 hari ini ketika ditanya mengenai desakan New Delhi yang meminta Putrajaya tidak mengulas mengenai dasarnya.
Perdana menteri membuat kenyataan awal sebelum ini, sebagai maklum balas mengenai rang undang-undang yang dilihat mendiskriminasi “minoriti yang dianiaya” dari negara Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan.
Rang undang-undang tersebut, yang diluluskan di sidang negeri dan Parlimen India, tidak memasukkan minoriti Muslim seperti Ahmadiyya dan Rohingya. Rang undang-undang itu mendapat bantahan dan menyaksikan himpunan penunjuk perasaan sehingga menyebabkan pertempuran antara mereka dan pasukan keselamatan di beberapa bahagian di India.
Dr Mahathir semalam mengatakan undang-undang sedemikian akan membawa kepada ketidakstabilan dan “semua orang akan menderita”. Ia juga tidak adil, memandangkan orang Islam telah lama menduduki India sebagai rakyat negara itu sejak sekian lama, katanya.
“Ia sangat malang. India adalah negara sekular dari awal dan agama-agama rakyat tidak menghalang mereka daripada menjadi warganegara. Mereka telah menjadi warganegara selama ini. Tetapi untuk mengecualikan umat Islam daripada menjadi warganegara, walaupun dengan proses yang sewajarnya, ia adalah tidak adil, “katanya lagi hari ini.
“Oleh itu, kami tidak bersetuju dengan layanan seperti ini.”
Menjelaskan pengalaman Malaysia, beliau berkata ramai orang dari wilayah lain telah diterima sebagai warganegara walaupun mereka tidak berasal dari Tanah Melayu.
“Mereka tidak berasal dari sini dan mereka datang semasa pemerintahan British. Tetapi kita telah terima mereka sebagai warganegara kita dan mereka bebas untuk mengamalkan kepercayaan yang mereka mahu percaya.” – 21 Disember, 2019.
Komen