PENTADBIRAN Selangor dan Pulau Pinang dikritik kerana pelaksanaan yang lemah terhadap enakmen kebebasan maklumat (FOI), dan kumpulan persatuan sivil berkata akses rakyat kepada maklumat negeri kekal tidak berubah sejak ia diperkenalkan.
Enakmen itu digubal pada 2011 untuk mempromosikan ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih luas, dengan membenarkan akses orang awam kepada maklumat kerajaan negeri.
Bagaimanapun, selepas enam tahun, kedua-dua kerajaan negeri bertindak “terlalu sedikit atau tiada langsung untuk mempromosikan kegunaan FOI”, kata badan pemantau rasuah Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4).
“Tidak ada publisiti langsung daripada kerajaan negeri. Ini sangat malang dan mengecewakan,” kata Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel.
Cynthia yang juga bekas ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya berkata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy dan Speaker Selangor Hannah Yeoh, antara ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang membangkitkan kesedaran awam mengenai FOI.
“Rakyat negeri ini boleh menggunakan undang-undang itu lebih proaktif untuk menunjukkan kepada negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) bagaimana FOI boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka,” kata Cynthia.
Berikutan kesedaran umum yang rendah, Pulau Pinang hanya menerima 71 permohonan FOI pada 2015 dan 41 sehingga Jun 2016, kata Dr Ramasamy pada satu forum anjuran Penang Institute tahun lalu.
Selangor menerima 163 permohonan FOI antara 2013 dan 2015. Namun, jumlah permohonan yang tidak berjaya tidak didedahkan.
Usaha The Malaysian Insight untuk mendapatkan jumlah terkini permohonan FOI yang berjaya dan ditolak dari kedua-dua pentadbiran negeri juga tidak berjaya.
Tahun lalu, C4 bekerjasama dengan satu lagi badan pemantau tempatan Sinar Project untuk melancarkan kempen Right 2 Know Malaysia, bermatlamat membantu rakyat Malaysia mengenali FOI menerusi laman web dan ceramah umum.
Koordinator Sinar Project Khairil Yusof berkata sungguh mengejutkan apabila exco Selangor menafikan permintaan mereka untuk mendapatkan maklumat perbelanjaan exco di bawah bekas menteri besar Khalid Ibrahim dan juga menteri besar sekarang Mohamed Azmin Ali.
Khairil berkata projek itu diadakan untuk menonjolkan “bagaimana undang-undang FOI Selangor dan prosesnya diamalkan lebih baik berbanding di Pulau Pinang”.
Bagaimanapun, penolakan permohonan itu menunjukkan pentadbiran Selangor tidak sanggup telus sepenuhnya mengenai perbelanjaan exco, kata Khairil.
Selangor juga menolak permohonan untuk menjadikan beberapa projek dan perjanjian sebagai maklumat umum, seperti projek kontroversi pembinaan Lebuh raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan perjanjian air kerajaan negeri.
Susulan kritikan terhadap pelaksanaan enakmen FOI, Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengadakan pendengaran umum pada Januari 2015 untuk menyemak semula pelaksanaan enakmen itu.
Exco Selangor Elizabeth Wong ditugaskan memantau pelaksanaan FOI tetapi tidak memberi respons untuk ditemu bual pada masa ini.
Cynthia berkata FOI tidak dapat dijalankan dengan baik selagi terdapat sekatan undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA). – 31 Oktober, 2017.
Komen