Dr Mahathir sekali lagi bangkitkan idea guna dinar emas


Chan Kok Leong

Negara Islam perlu jadi lebih bebas dan tidak bergantung kepada musuh untuk teknologi dan perdagangan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

NEGARA Islam perlu mencipta mata wang bersama dalam usaha mereka menjadi lebih bebas, kata Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak KL 2019, hari ini, mengulangi semula idea yang pernah dilontarkannya sebelum ini.

“Kita sedang teliti dengan serius perkara ini dan berharap akan menjumpai mekanisme pelaksanaannya,” kata perdana menteri ketika menutup majlis perhimpunan pemimpin dan ilmuwan negara Islam itu.

Katanya, Malaysia sudah mencadangkan pengguna semula dinar emas dan perdagangan bater antara negara Islam.

“Tumpuan utama kita adalah ekonomi, sains dan teknologi serta industri pertahanan. Tetapi, aspek lebih penting adalah keupayaan mengeluarkan dan mencipta teknologi asal.

“Kerana selagi mana kita bergantung kepada teknologi dicipta oleh musuh Islam, mereka akan selamanya akan mampu menekan, menundukkan dan mengawal usaha kita terutamanya untuk meningkatkan teknologi dan sistem pertahanan kita,” kata pemimpin berusia 94 tahun itu.

Tambahnya lagi, Sidang Kemuncak KL boleh dianggap berjaya kerana menyaksikan 18 pertukaran instrumen pelbagai bidang termasuklah teknologi tinggi, kerjasama media, pusat kecemerlangan, sekuriti makanan dan kepimpinan belia dan program pertukaran.

“Akan ada lagi beberapa rancangan yang sedang diteliti hasil perbincangan sidang ini,” katanya.

“Walaupun ia mungkin tidak dapat meredakan kecurigaan dan penentangan yang timbul, kita sekali lagi ingin menekankan yang Sidang tertumpu kepada matlamatnya mencari penyelesaian dan program yang kami percaya dapat membantu dan akhirnya menyelamatkan Ummah daripada kesukaran sekarang.” – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen