Korek pasir tanpa kawalan, Kg Asahan diancam tenggelam


SM Amin

Tinjauan TMI mendapati pontun yang menyedut pasir melintang di tengah sungai, melanggar SOP aktiviti itu. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2019.

AHMAD Zafir Abdullah merenung benteng penahan sungai yang jaraknya hanya 50 meter dari rumahnya di Kampung Asahan, Kuala Selangor. Lelaki 62 tahun itu cukup bimbang, pada musim tengkujuh begini, kalau hujan lebat dan air sungai naik lagi, apakah benteng itu masih akan tegap lagi.

Pada hujung Oktober lalu, kampungnya sudah dilanda banjir. Pada dinding rumahnya, masih ada garis bekas air yang naik.

Lebih kurang 500 meter dari kampung itu, kerja mengorek pasir di Sungai Selangor yang bermula sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan hakisan tanah yang teruk di sepanjang tebing.

Zafir risau kalau kerja mengorek pasir yang berterusan akan menyebabkan benteng atau ban yang menyokong tebing sungai runtuh.

“Kalau pecah ban itu, Kampung Asahan tenggelam. Bayangkan kalau pecah waktu malam. Jangan main-main dengan sungai. Di sini ada lebih 80 buah rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kerja mengorek pasir itu dijalankan oleh operator yang mendapat kontrak daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik kerajaan Selangor yang memegang lesen melombong pasir.

Kata Zafir, operasi itu nampak tidak terkawal sehingga menyebabkan pokok-pokok besar, yang selama ini mengikat tebing, kini tumbang ke dalam sungai.

“Pokok kelapa sawit banyak jatuh ke dalam sungai. Saya rasa lebih kurang 100 pokok sudah hilang. Banyak pokok besar tumbang atau mati. 

“Akar pokok itu kuat. Bila sudah tidak ada pokok, tebing pun terhakis,” katanya.

Zafir yang membawa The Malaysian Insight menyusur sungai itu baru-baru ini menunjukkan bagaimana hakisan tebing menyebabkan sungai menjadi dua kali lebih besar daripada lebar asal.

Jarak antara sungai dan ban, yang terletak betul-betul di tepi jalan raya, sekarang tinggal hanya 50 meter.

Sebahagian tanah yang dulunya daratan sekarang sudah jadi pulau di tengah sungai.

Sepanjang operasi korek pasir berjalan, kata Zafir, sudah dua kali ban pecah dan ditampal dengan tanah pasir.

“Nasib baik ketika itu bukan musim hujan dan waktu air pasang. Dia (operator) sudah baiki tetapi adakah sekuat tanah asal? 

“Saya tengok mereka tampal ala kadar sahaja dengan tanah pasir yang mereka korek,” katanya yang risau kejadian sama akan berulang ketika musim hujan.

Dalam 30 minit menyusur sungai, The Malaysia Insight ditunjukkan juga dua pelanggaran prosedur operasi piawai (SOP): kerja mengorek pasir terlalu dekat dengan tebing, sementara pontun yang menyedut pasir melintang di tengah sungai.

“Kalau ikut SOP, mana boleh pontun melintang sungai macam ini. Kalau kita naik bot besar, tidak lepas ini,” kata pemandu bot yang hanya mahu dikenali sebagai Suhael.

Suhael juga memberitahu pernah juga minyak diesel dari ponton tumpah ke sungai.

“Macam yang kecoh sebelum ini dekat Rantau Panjang,” katanya.

Tebing sungai di Kg Asahan, Kuala Selangor yang terhakis teruk kerana aktiviti penyedutan pasir tidak terkawal. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2019.

Suhael merujuk pada pencemaran diesel di Sungai Selangor pada Julai lalu yang menjejaskan operasi loji rawatan air sehingga bekalan air di Lembah Klang terganggu beberapa hari.

Bagi nelayan sungai Shahrizal Abdul Rahim, 33, aktiviti mengorek pasir menjejaskan pendapatannya, sementara pokok-pokok yang tumbang ke sungai sering menyebabkan botnya tersangkut.

“Dahulu sekali turun boleh dapat dalam RM300 tetapi sekarang ini RM80 pun susah. Kena pergi dekat kawasan yang tidak terjejaslah.

“Kalau pergi tempat yang terjejas, keli tiga ekor saja dapat, nak jual apa,” katanya.

Sharizal berkata, berdasarkan pemerhatiannya, hanya dua operator korek pasir yang beroperasi tanpa mengikut prosedur.

Katanya, keadaan sungai di kawasan di bawah kendalian operator lain masih baik kerana mereka mengorek pasir hanya di tengah sungai.

“Isunya dua operator pasir yang dekat sini, yang teruknya. Yang operator di sebelah atas (hulu) okay sedikit. Jauh beza keadaannya. Sungai tidak banyak terjejas. Tebing pun cantik lagi.

“Yang bawah ini mereka tamak ambil pasir. Bukan di tengah sahaja tetapi habis kiri kanan sungai dia sapu,” katanya.

Shahrizal berkata sebenarnya tiada masalah sekiranya kerja mengorek pasir itu dibuat untuk mendalamkan sungai, asal saja ia dilakukan mengikut peraturan dan tidak merosakkan ekosistem sungai.

“Janganlah sampai merosakkan tebing. Kalau ikut SOP, jika tebing rosak kena baiki terus. Tetapi mereka tidak pernah baiki. Saya tidak pernah nampak,” katanya.

Penduduk kecewa kerana tiadanya tindakan pihak berkuasa memantau aktiviti penyedutan pasir di sungai Kuala Selangor, mencetuskan kebimbangan bah besar akan berlaku. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2019.

Bagi Mohamed Azmi Abdullah, 43, beliau sudah bosan dengan janji pihak berkuasa dan KSSB yang diberikan permit cuci gali sungai untuk memperbaiki tebing sungai.

Sepanjang aktiviti korek pasir dijalankan kata Azmi, beliau tidak pernah nampak operator membaiki sungai walaupun sudah beberapa kali aduan dibuat dan isu tersebut ditularkan.

“Bulan 10 hari itu tular di Facebook pasal hakisan ini. Pegawai daerah, MPKK, Kumpulan Semesta pun ada turun sekali.

“Syarikat cakap operator kena baiki tebing dahulu sebelum boleh operasi balik. 

“Lepas daripada itu, operasi perlahan sedikit tetapi sampai sekarang mana ada operator baiki tebing,” katanya.

Beliau sudah pasrah atas apa yang berlaku namun mendesak kerja mengorek pasir di kawasan yang terjejas teruk dengan hakisan dihentikan serta merta – sebelum insiden besar berlaku.

“Lepas hakisan teruk macam ini, mustahil tebing boleh dibaiki. Tempat korek pasir itu betul-betul dekat kawasan selekoh sungai. Air bila pasang surut akan langgar tebing, jadi hakisan ini tidak akan berhenti. 

“Bayangkan apa jadi dekat ban ini selepas 4,5 tahun mereka hentikan operasi? 

“Tebing terus terhakis dan jadi runtuhan, siapa hendak bertanggungjawab?,” soalnya. – 23 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen