Hari Migran Sedunia tak bermakna tanpa hak bekerja, kata pelarian


Zaim Ibrahim

Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Pulau Pinang antara lokasi masyarakat Rohingya untuk menetap dengan membayar kadar sewa RM200-RM300 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

HARI Migran Sedunia berlangsung pada 18 Disember lalu tanpa sebarang makna pada Dilu Saidur Rahman, seorang pelarian Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Apa yang bermain di fikirannya adalah saat rakan-rakannya meninggal dunia ketika bot yang dinaiki untuk melarikan diri daripada junta tentera Myanmar kehabisan minyak di tengah lautan.

“Mayat itu terpaksa dicampak ke dalam laut,” kata wanita itu dengan sayu ketika ditemui The Malaysian Insight di Bukit Tengah, Pulau Pinang.

Kesemua pelarian berjumlah kira-kira 50 itu berhimpit-himpit di atas bot kecil dengan bekalan makanan yang amat terhad, kata Dilu, 40 tahun ketika menceritakan semula detik mengerikan itu.

Namun beliau tetap menggagahkan diri sepanjang perjalanan penuh getir selama tiga bulan itu agar dapat menyelamatkan anak-anak daripada dibantai tentera di Rakhine, Myanmar.

Jika terus tinggal di Myanmar, mereka mungkin akan dirogol dan dibunuh seperti yang dialami mangsa lain, katanya.

Dalam masa satu bulan, mereka sampai ke Thailand tetapi tidak dapat memastikan lokasi sebenar. Apa yang dapat dilihatnya waktu itu hanyalah hutan dan bukit bukau, katanya.

“Ketika di Thailand, ada ejen yang sambut kedatangan kami. Kami berjalan di dalam kawasan hutan tebal selama 15 hari untuk sampai ke sempadan Thailand-Malaysia.

“Kami berjalan dari pagi hingga ke malam, tidur pun di hutan dan tidak dapat tidur lama kerana perlu meneruskan perjalanan,” tambahnya.

Semakin hari, jumlah pelarian dalam kumpulan itu semakin berkurangan kerana ramai yang meninggal dunia di tengah-tengah perjalanan.

Selepas sampai ke sebuah lokasi sempadan Thailand-Malaysia mereka kemudiannya dibawa oleh sebuah kereta pacuan empat roda untuk dihantar ke Pulau Pinang

“Sebuah kereta dimuatkan seramai 20 orang. Memang tidak muat tetapi kami duduk berhimpit dan bertindan-tindan.

“Waktu itu, ada kawan-kawan yang maut akibat sesak nafas dan mayatnya dibuang saja,” katanya.

Dilu Saidur Rahman sewa rumah di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah sejak tiba di Malaysia tujuh tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

Namun beliau gembira kerana dapat bertahan bersama anak-anaknya sehingga tiba di Malaysia.

Perjalanan yang amat sukar itu amat berharga kerana itu sajalah cara untuk disatukan semula dengan suaminya yang sudah pun tiba di Malaysia lebih awal.

“Apabila sampai, suami saya ambil dan serahkan duit antara RM7,000 hingga RM8,000 kepada ejen. Sejak itu, saya terus tinggal di Pulau Pinang,” katanya.

Nasib keluarganya amat baik kerana tidak terkorban di kubur tidak bertanda dan menjadi mangsa ejen yang tamak tersebut.

Seramai kira-kira 150 jasad mangsa pemerdagangan orang itu ditemui dalam kawasan sempadan Thailand-Malaysia di Wang Kelian.

Penemuan 139 kubur dan 29 kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma di Wang Kelian pada 2015 itu membongkar kegiatan sindiket yang turut melibatkan pasukan keselamatan kedua-dua negara.

Seramai 48 saksi termasuk bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kes tersebut. Hasilnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada September.

Pelarian yang berjaya diperdagang oleh sindiket melalui laluan maut di Wang Kelian seperti Dilu kini menjadi antara 177,800 orang pemohon suaka di Malaysia.

Angka itu melibatkan pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), menurut James Lochhead dari NGO Penang Stop Human Trafficking Campaign

Seramai 153,200 orang daripadanya berasal dari Myanmar melibatkan 98,130 orang Rohingyas, 23,500 keturunan Chins, 9,450 muslim Myanmar dan 3,720 orang Rakhine, Arakan dan etnik lain negara itu.

Data itu juga menunjukkan seramai 20,000 berada di Pulau Pinang, yang mana 80% daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya.

Pelarian Rohingya, Muhammad Ismail Mohammad Roshid, 21, di Malaysia sejak enam tahun lalu dan pernah bekerja di Pulau Pinang, Melaka dan kini di Selangor. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

Beberapa orang lagi pelarian Rohingya yang ditemui di Bukit Tengah kampung memberitahu The Malaysian Insight, mereka menerima kad pelarian daripada UNHCR.

Namun kad itu tidak melayakkan mereka untuk bekerja, mendapatkan pendidikan, mahupun mendapatkan lesen kenderaan di Malaysia.

Ini kerana, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 yang menyebabkan semua pelarian tidak dapat akses kesihatan, pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan di negara ini.

Mengikut Akta Imigresen juga, pelarian dianggap pendatang tanpa izin dan berisiko ditangkap serta dihantar pulang ke negara asal.

Namun ramai mengambil risiko bekerja sebagai pekerja kontrak binaan, seperti salah seorang anak Dilu yang mengambil alih pekerjaan suaminya yang kini sakit.

Mereka memilih pekerjaan itu yang dianggap kurang risiko kerana jarang diganggu oleh pihak berkuasa.

Bayarannya juga memadai untuk membolehkan mereka membayar sewa rumah dan makan minum keluarga, katanya.

“Anak hanya buat kerja kontrak. Biasanya buat longkang atau jalan. Gaji dibayar secara harian iaitu RM60-RM70 saja,” katanya.

Bayaran itu membolehkan mereka menyewa sebuah rumah kecil dengan bayaran RM250 sebulan.

“Walaupun hidup ini terasa susah, tetapi lebih baik berbanding di Myanmar,” katanya.

Seorang lagi pelarian, Abdul Salam Islam, 29, turut menggunakan perkhidmatan ejen pemerdagangan manusia untuk datang ke Malaysia enam tahun lalu.

Beliau nekad menaiki bot untuk menyeberang ke Malaysia apabila melihat keadaan di Myanmar semakin meruncing.

“Saya sampai ke sempadan Bukit Kayu Hitam selepas melalui perjalanan lebih kurang tiga bulan dari Myanmar. Kemudian saya terus ke Pulau Pinang dan saya tahu, lebih mudah mendapat pekerjaan di sini,” katanya.

Sejak sampai ke Malaysia, beliau bekerja sebagai pekerja kontrak dengan gaji RM70 sehari.

“Bukan setiap hari kerja, kita tunggu majikan panggil. Kalau hujan, kami pun bercuti saja,” katanya.

Beliau juga mendakwa terpaksa membayar rasuah untuk mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa.

“Apabila minta kad pengenalan dan dokumen lain saya tidak ada, akhirnya kena bayar duit kopi lah,” katanya yang menambah, ia perkara biasa yang terpaksa dilakukan pelarian Rohingya di Malaysia.

Seorang lagi, Muhammad Ismail Mohammad Roshid, 21, berkata beliau sudah bekerja di tiga negeri sejak tiba di Malaysia enam tahun lalu.

Muhammad yang kini bekerja sebagai buruh binaan di Sabak Bernam, Selangor berkata beliau sangat bersyukur kerana dapat bekerja tetapi masih tidak berasa aman kerana tidak memiliki permit kerja.

“Saya paling takut apabila terjumpa pihak berkuasa, lebih-lebih lagi ketika menunggang motosikal ataupun mereka buat serbuan, sebab kita tiada permit bekerja dan lesen kenderaan.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana masa depan saya, tetapi berharap dapat bekerja seperti rakyat biasa dan anak-anak juga diberi kebenaran untuk bersekolah,” katanya yang ditemui di Pulau Pinang. – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen