Kerajaan masih habiskan berjuta untuk subsidi minyak


Melati A. Jalil

“Saya rasa kita masih (subsidi) beberapa ratus juta setiap bulan. Kerana itulah kadang kala anda lihat harga jatuh. Saya tak tahu di masa depan, saya tak tahu. Saya tak fikir kita akan terus subsidi,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Irwan Serigar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Oktober, 2017.

PUTRAJAYA masih menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk subsidi minyak walaupun secara rasminya sudah menghapuskan subsidi bahan api itu pada 2014, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Irwan Serigar.

Bercakap pada Dialog Pasca Bajet 2018, beliau mengatakan kerajaan membelanjakan sekitar RM22 bilion sebelum mengunakan sistem apungan terurus berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Walaupun kita mempunyai mekanisme harga minyak, kita masih ada subsidi di situ. Kerajaan masih beri subsidi.

“Kadang-kala kita tak mahu bebankan rakyat terlalu banyak, jadi kita subsidi tempoh tertentu bila minyak naik, kita subsidi sikit.

“Saya rasa kita masih (subsidi) beberapa ratus juta setiap bulan. Kerana itulah kadang kala anda lihat harga jatuh. Saya tak tahu di masa depan, saya tak tahu. Saya tak fikir kita akan terus subsidi,” katanya menjawab soalan mengenai mekanisme harga minyak.

Sejak 29 Mac, harga siling bahan api diumumkan setiap minggu. Harga petrol dan diesel ditetapkan menurut purata bulanan harga minyak mentah dunia.

Mengenai Bajet 2018, Irwan mengatakan kerajaan sudah menubuhkan pasukan tindakan khas untuk menyelia pelaksanaan semua projek ditetapkan dalam bajet.

“Ketua Setiausaha Ali Hamsa akan mempengerusikan pasukan tindakan khas itu dan saya sebagai timbalan. Ini bagi memastikan semua agensi kerajaan akan melaksanakan projek dan program seperti dijadualkan dan kos efektif supaya kesannya lebih besar kepada rakyat,” katanya. – 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen