PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 akan tetap diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara pada akhir Mac ini, dan bukan di Serdang, kata Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Mohd Khair Ngadiron.
PBAKL 2020 akan berlangsung antara 27 Mac hingga 5 April.
Penganjuran PBAKL 2020 sebelum ini mencetuskan riuh rendah dalam kalangan penerbit dan peminat buku selepas dihebahkan akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (Maeps), kira-kira 30 kilometer dari Kuala Lumpur.
Khair memberitahu The Malaysian Insight lokasi yang dihebahkan sebelum ini sebenarnya belum diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Pesta Buku Kuala Lumpur.
“Kita memang akan adakan di PWTC. Isu lokasi sebelum ini belum diputuskan pun, hanya cadangan awal.
“Mesyuarat semalam memutuskan lokasi kekal di PWTC,” kata Khair Ngadiron ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pada pertengahan November lalu, penerbit dan peminat buku mengeluh di media sosial selepas tersebar sebuah poster memaklumkan PBAKL 2020 akan dianjurkan di Maeps Serdang.
Poster itu tertera logo logo Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 dan akaun media sosial serta alamat laman web KLWBC.
Selepas poster itu tersebar, beberapa penerbit buku juga membuat kaji selidik pendapat di Twitter dan Facebook mengenai lokasi PBAKL 2020.

Pengesahan PBAKL kekal di PWTC disambut baik oleh penerbit buku Azlan Husin.
Katanya, orang ramai merungut sebelum ini kerana menganggap lokasi di Serdang tidak sesuai dengan perisytiharan Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia tahun depan.
“Tempat perlulah seiring dengan status kota buku dan perlulah di Kuala Lumpur. Tidak kisah di mana… janji di KL. Tetapi PWTC adalah tempat terbaik.
“Kita suka sebab walaupun merungut tak cukup parkir tetapi (di PWTC) ada pengangkutan awam selain banyak kemudahan lain termasuk makan dan minum,” katanya, yang dikenali sebagai antara penggerak utama penerbit kecil.
Peminat buku juga memberikan reaksi sama di media sosial, menyambut baik pengumuman pihak penganjur PBAKL kekal di PWTC
“Tak sabar nak serbu PBAKL tahun depan,” kata @aaaliseya di Twitter.
Pesta buku tahunan itu pernah dianjurkan di Maeps pada 2016 namun disambut hambar oleh peminat buku kerana lokasinya yang jauh dan sukar dituju dengan pengangkutan awam.
Sejak awal 1990-an, PBAKL berlangsung di PWTC selepas berpindah dari satu-satunya dewan pameran yang utama di Kuala Lumpur sebelum itu iaitu di Changkat Pavillion.
Peminat buku juga memberikan reaksi sama di media sosial, menyambut baik pengumuman pihak penganjur PBAKL kekal di PWTC
Dalam pada itu, Khair turut memberitahu The Malaysian Insight pihak penganjur akan memberikan diskaun 20% sewa gerai berbanding harga tahun lepas.
Ia bagi membantu merancakkan lagi industri buku negara, katanya, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
“Kita memahami dunia perbukuan perlu insentif dan kita akan cuba beri lebih ruang.
“Kita berharap ini sumbangan kita untuk memastikan industri buku tetap berdaya saing,” katanya. – 18 Disember, 2019.
Komen