Bekas timbalan pengarah SKMM didakwa esok


SPRM dalam satu kenyataan berkata bekas timbalan pengarah SKMM itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9 pagi esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

SEORANG bekas timbalan pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan didakwa atas tuduhan menerima rasuah esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata lelaki tersebut akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9 pagi esok.

Lelaki itu dipercayai akan didakwa meminta suapan untuk meluluskan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Januari tahun ini, bekas timbalan pengarah itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama dua hari berkaitan kes meminta suapan berhubung kelulusan projek yang bernilai RM270,000.

PPS adalah inisiatif kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu.

Bekas timbalan pengarah SKMM itu juga dilaporkan ditahan SPRM di sebuah pusat membeli-belah pada Januari tahun ini ketika menerima RM50,000. – 18 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen