Tak hadir tak bermaksud tak peduli, kata DAP


Looi Sue-Chern

KETIADAAN ramai wakil DAP Pulau Pinang dalam dialog anjuran pergerakan masyarakat sivil tentang banjir dan pembangunan lereng bukit semalam tidak bermaksud wakil rakyat kerajaan tidak peduli mengenai kebimbangan rakyat, kata Dr P. Ramasamy.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata wakil rakyat tidak bermusuh dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sentiasa terbuka untuk bertemu mereka bagi membincangkan isu melibatkan kepentingan negeri dan rakyat.

“Hanya kerana kami tak berada di sana, tak bermaksud kami kurang prihatin mengenai isu dibangkitkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami tak ada masalah untuk hadir ke dialog anjuran pergerakan masyarakat sivil, terutama sekali yang membincangkan kebimbangan pembangunan. Tetapi kebetulan semua perwakilan sibuk dengan program masing-masing hujung minggu lepas.

“Deepavali hanya seminggu lalu dan banyak rumah terbuka untuk berjumpa pengundi. DAP juga dalam persediaan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). NGO perlu pertimbangkan semua ini.

“Jika saya ada masa, pastinya saya menghadiri dialog itu semalam. Ia tambah baik kalau Penang Forum tetapkan masa yang lebih sesuai untuk kami ramai-ramai datang.”

Semalam, Penang Forum, sebuah gabungan NGO tempatan yang lantang bersuara mengenai isu pembangunan tidak terkawal menganjurkan dialog membincangkan isu banjir kilat dan projek di lereng dan pinggir bukit.

Hampir 200 orang menghadiri program itu termasuklah Ketua Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan pemimpin serta penyokong BN negeri yang lain juga turut hadir di Persatuan Teochew, tetapi daripada 40 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 13 ahli Parlimen di negeri itu, tidak sampai 10 orang yang hadir.

Mereka yang datang adalah pemimpin pembangkang negeri iaitu Jahara Hamid (Teluk Air Tawar), Muhammad Farid Saad (Pulau Betong) dan Shah Headan Ayoob Hussain Shah (Teluk Bahang) dari Barisan Nasional; dan Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Lee Khai Loon (Machang Bubok) and Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dari PKR.

ADUN Pulau Tikus Yap Soo Huey adalah satu-satunya wakil rakyat DAP yang hadir. Seorang lagi ahli DAP yang hadir ialah Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang Syerleena Abdul Razak.

Pemimpin persatuan penduduk meluahkan kekecewaan mereka kerana ramai ADUN terutama daripada DAP yang mempunyai wakil rakyat teramai dalam Pakatan Harapan yang mentadbir Pulau Pinang tidak hadir.

Dikhabarkan DAP mempunyai program dalaman parti pada masa yang sama di Seberang Jaya bagi melakukan persiapan kongres khas parti itu untuk pemilihan semula CEC.

Ramasamy berkata NGO boleh sahaja mengkritik kerajaan Pulau Pinang tetapi untuk mereka menggesa pentadbiran negeri dijatuhkan ia seolah berbunyi peras ugut dan ugutan.

Katanya, NGO tidak boleh membenarkan pihak tertentu menggunakan majlis anjuran mereka untuk mengecam pentadbiran negeri.

Beliau turut mengatakan gangguan ke atas Yap yang cuba memberikan pandangannya pada majlis itu tidak boleh diterima.

Yap cuba memberikan pandangan yang ia tidak semudah itu untuk mengharamkan semua pembangunan lereng bukit tanpa mempertimbangkan kesan kepada sektor pembinaan dan kebajikan pekerja tetapi beberapa hadirin majlis berulang kali menganggunya.

Ramasamy juga terkesan dengan kenyataan peserta dialog yang mengatakan wakil rakyat negeri terlalu sibuk dengan rumah terbuka Deepavali.

“Dia buat macam kami sibuk berparti. Deepavali adalah penting seperti mana perayaan besar lain. Kenyataan itu menyakitkan.”

ADUN Prai itu mengatakan apa yang berlaku sudah terjadi, dan menjemput NGO itu untuk menetapkan tarikh lain bagi berbincang dengan kerajaan negeri.

“Jika mereka serius mengadakan perbincangan dengan negeri, saya mengalu-alukan mereka membuat temujanji berjumpa ketua menteri dan Exco Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow. Chow lelaki yang baik, berfikiran terbuka.

“NGO pernah berjumpa dengan kerajaan negeri dalam pertemuan dan dialog sebelum ini. Tiada masalah buat satu lagi pertemuan.”

Sementara itu, ADUN Air Itam Wong Hon Wai juga menjemput Penang Forum untuk mengikuti perdebatan isu banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Khamis ini.

“Jika Penang Forum benar-benar ikhlas berjumpa kerajaan negeri, mereka boleh tulis kepada kami dan kerajaan negeri akan berjumpa mereka pada tarikh dipersetujui.

“Wakil rakyat negeri sangat prihatin dengan isu banjir dan masalah itu sedang ditangani oleh jawatankuasa mitigasi banjir dan akan dibincangkan pada sesi DUN akan datang,” kata Wong yang juga merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

ADUN dua penggal DAP itu mengatakan beliau sendiri turun padang membantu mangsa banjir di Taman Thean Teik dan Kampung Shaik Madar serta mendengar keluhan mereka.

Wong turut mengatakan beliau kecewa kerana dialog Penang Forum semalam “dipolitikkan” BN dan medianya untuk mengecam perwakilan DAP.

Katanya, tarikh dan masa dialog itu ditetapkan oleh NGO terlibat dan beliau tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri program DAP yang sudah ditetapkan terlebih awal.

ADUN Tanjung Bungah The Yee Cheu yang juga tidak hadir pada Ahad itu mengatakan beliau sudah memaklumkan Penang Forum tentang ketidakhadirannya.

“Saya beritahu mereka yang saya akan bangkitkan kebimbangan mereka pada sesi DUN akan datang,” katanya.

Ketiadaannya pada forum itu dikesalkan tetapi Teh sudah lama menyatakan pendiriannya tentang pembangunan lereng dan cerun bukit di negeri itu.

Beliau mula membangkitkan isu alam sekitar serta menentang pembangunan lereng bukit di kawasannya sejak sebelum menang pilihan raya pada 2008 lagi sehingga membuatkan pemimpin tertinggi parti dan rakan politiknya tidak senang dengan beliau. – 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen