2 iklan aplikasi Sugarbook di KL diturunkan, kata Fahmi Fadzil


Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata iklan aplikasi mencari pasangan Sugarbook di Kuala Lumpur yang mencetuskan kontroversi diturunkan malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

IKLAN aplikasi mencari pasangan Sugarbook di dua lokasi di Kuala Lumpur yang mencetuskan kontroversi sudah diturunkan malam tadi, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Sugarbook ialah platform yang menjadi orang tengah mempertemukan wanita dengan sugar daddy, yang menawarkan perhubungan dengan imbuhan tertentu.

Fahmi mengesahkan membuat aduan kepada Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lebih kurang pada 7.30 malam tadi, dan selepas itu dimaklumkan iklan digital berkenaan diturunkan.

Jelas Fahmi, beliau awalnya dapat tahu tentang iklan itu selepas ia heboh di Twitter dan kemudian melihatnya sendiri semasa singgah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar untuk solat Maghrib.

“Saya memang nampak paparan iklan Sugarbook.

“Apabila nampak sendiri, saya maklumkan kepada pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Perlesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Semalam, media sosial heboh selepas beberapa pihak mempersoalkan kewajaran iklan berkenaan yang dianggap tabu dan seolah-olah menggalakkan pelacuran.

Antaranya yang mempersoalkan iklan itu ialah Persatuan Pengguna Siber Malaysia yang menyifatkannya sebagai iklan aplikasi pelacuran kelas atasan.

Jelas Fahmi, beliau kemudian dimaklumkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan bahawa dua papan iklan Sugarbook di Bangsar dan Mont Kiara telah diturunkan selepas aduannya itu.

“Antara jam 7.30 hingga 10 malam, saya difahamkan iklan itu diturunkan,” katanya.

Fahmi turut mempersoalkan bagaimana iklan seperti itu diluluskan dan beliau menyerahkan kepada DBKL untuk menyiasat.

“Saya sudah minta satu laporan dan siasatan dijalankan, jadi malam tadi dan hari ini akan ada satu siasatan.

“Pengusaha papan tanda LED itu akan dipanggil untuk beri penjelasan kepada DBKL,” jelasnya.

Aplikasi Sugarbook merupakan perkhidmatan kepada golongan wanita dan lelaki mencari pasangan berkonsepkan “sugar dating”.

Ia ditubuhkan pada Disember 2016 dan mempunyai ahli melebihi ratusan ribu daripada Malaysia, Singapura, dan Filipina.

The Malaysian Insight difahamkan iklan digital pada papan iklan LED itu mula dipaparkan pada 3 Disember lalu.

Pengasas Sugarbook Darren Chan dalam satu wawancara baru-baru ini dipetik menjelaskan perkhidmatan pihaknya bukan menjurus kepada aktiviti pelacuran atau untuk hubungan seks.

Sebaliknya, ia satu kaedah kepada lelaki dan wanita untuk mendapatkan sokongan kewangan dengan menawarkan persahabatan atau cinta, katanya.

Dalam wawancara itu, Chan menegaskan persahabatan dan perhubungan hasil pertemuan melalui Sugarbook tidak semestinya membawa kepada hubungan seks.

Namun bagi Fahmi Fadzil, iklan dan aplikasi itu tidak sesuai memandangkan bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia.

“Sebagai ahli Parlimen, saya berpandangan sebagai negara Malaysia yang mengamalkan budaya ketimuran, aplikasi seperti ini kurang sesuai.

“Syarikat perniagaan perlu memahami konteks, budaya dan agama di sesebuah kawasan, negara dan masyarakat.

“Apabila ada reaksi daripada rakyat Malaysia seperti ini, mereka harus faham,” katanya. – 18 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen