JUMLAH penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) meningkat kepada 7 juta orang sejak ia pertama kali diperkenalkan pada 2012 membuktikan kegagalan program itu untuk meningkatkan kualiti kehidupan golongan miskin, kata pemimpin pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Ini menunjukkan lebih daripada 18 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas, 38% mereka masih berada dalam kumpulan pendapatan rendah dan terus berada dalam kemiskinan,” katanya.
Katanya program itu hanya boleh dianggap berjaya sekiranya ia mampu mengurangkan jumlah penerima tahun demi tahun.
Tetapi keadaan semasa menggambarkan sebaliknya.
“Peningkatan jumlah penerima menunjukkan dasar ekonomi yang diperkenalkan ahli Parlimen Pekan (Najib Razak) untuk menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan kehidupan kumpulan pendapatan rendah (satu) kegagalan pentadbirannya dalam menangani isu tersebut,” kata Dr Wan Azizah dalam ucapannya.
Dr Wan Azizah mengatakan kerana kegagalan kerajaan itu, rakyat perlu bertindak bijak pada pilihan raya umum akan datang.
BR1M adalah inisiatif pemberian wang tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah yang membentuk suku populasi negara ini. Pertama kali dalam pembentangan bajet ia tidak dinaikkan atau diluaskan untuk melibatkan lebih ramai kumpulan rakyat sejak diperkenalkan pada 2012. – 30 Oktober, 2017.
Komen