Lawatan ke White House: Najib mengena atau terkena?


The Malaysian Insight

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Najib Razak ketika lawatannya ke White House September lalu. Di Parlimen hari ini, ketika diasak oleh pembangkang,Najib memberikan reaksi yang mungkin serupa akan diberikan oleh pemimpin di White House itu. – Gambar EPA, 30 Oktober, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini memberikan bukti yang tidak dapat disanggah bahawa beliau bersahabat baik dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Apabila diasak oleh pembangkang di Parlimen, beliau memberikan reaksi yang mungkin sama akan diberikan oleh pemimpin di White House itu.

Seperti yang kita tahu, Presiden Trump tidak suka dicabar dan akan mempertahankan diri serta menyerang kalau naratifnya disanggah oleh lawan politiknya atau oleh media.

Najib juga menunjukkan sikap sama hari ini apabila disoal Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tentang kenapa beliau tidak bermalam di Blair House di Washington ketika dijemput untuk melawat White House pada September lepas.

Lagi pula, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pun tinggal di Blair House semasa lawatannya ke Washington baru-baru ini.

Apa yang terselindung di sebalik soalan yang tampak seperti bukan apa-apa itu ialah ini: oleh sebab Perdana Menteri sudah mencanangkan betapa lawatannya ke White House itu berjaya dan hubungannya dengan Trump sangat rapat, persoalannya ialah: kenapa Perdana Menteri tidak diberikan layanan yang sama seperti Hsien Loong.

Sebenarnya, soalan ini tidak bermaksud apa-apa sangat. Ia hanya usikan oleh seorang pemimpin pembangkang yang telah dijadikan bahan ketawa semasa pembentangan Bajet 2018.

Senang saja andai Najib menjawab soalan itu dengan mengatakan hubungan dua hala dengan Washington adalah mendalam dan meluas, dan beliau gembira dengan layanan yang diberikan oleh Trump.

Sebagai tambahan, beliau boleh saja mengucapkan tahniah kepada Hsien kerana tinggal di Blair House, dan boleh juga menggunakan fakta bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi juga diberi kesempatan tinggal di sana semasa melawat Presiden Barack Obama.

Sebaliknya, Najib menyerang Dr Wan Azizah dengan menekankan bahawa beliau juga berpeluang bermain golf dengan Presiden Trump.

Bunyinya macam budak sekolah bertengkar. Pembangkang tahu Najib akan melatah bila dijolok.

Jawapannya juga membayangkan walaupun hubungan dengan Singapura dan hubungan peribadinya dengan Hsien Loong bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada tanda-tanda hubungan dengan jiran di selatan itu sedang dalam keadaan tertekan.

Di Putrajaya, ada pandangan bahawa republik itu sudah terlalu lama melengah-lengahkan siasatan terhadap 1MDB dan ada pelbagai teori kosnpirasi kenapa ia berbuat demikian.

Biar apapun, jawapan tajam di Parlimen hari ini menggambarkan permainan antara Najib dan pembangkang, dan Najib dengan rakan sejawatnya di Singapura.

Siapa yang kenakan siapa dan siapa yang menang, belum tahu lagi. – 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen