KES Altantuya Shaariibuu kembali menghantui rakyat Malaysia selepas 13 tahun pembunuhannya yang dramatik, dan setakat ini, walaupun pelbagai bukti, keterangan dan sabitan di mahkamah, motif konkrit pembunuhan model yang dikaitkan dengan Najib Razak itu belum lagi ditemui oleh para penyiasat.
Dua pegawai polis dari Pasukan Tindakan Khas (UTK) didapati bersalah atas pembunuhan itu - Ketua Inspektor Azilah Hadri yang kini berada di penjara menunggu hukuman mati di Penjara Kajang manakala rakan subahatnya, Koperal Sirul Azhar Umar kini ditahan di pusat imigresen Australia selepas melarikan diri dari negara pada 2015.
Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri Najib Razak Abdul Razak Baginda juga didakwa terlibat dalam konspirasi pembunuhan itu namun dibebaskan tanpa apa-apa pertuduhan terhadapnya.
Bagaimanapun, Azilah menimbulkan kekecohan minggu ini apabila dia mendakwa Najib adalah dalang dalam pembunuhan itu. Sirul, bagaimanapun, pada 2016 menafikan Najib terlibat dalam pembunuhan itu dalam sebuah rakaman video.
Peguam yang mewakili keluarga Altantuya mahu siasatan baharu dijalankan berikutan keterangan terbaru Azilah dalam akuan sumpah berkanunnya yang heboh beberapa hari ini.
Berikut adalah beberapa watak utama dalam pembunuhan yang berlaku pada bulan Oktober 2006.
Sirul Azhar Umar
Sirul adalah komando polis dengan pangkat Koperal. Dia didakwa bersama Azilah membunuh Altantuya pada Oktober 2006. Mereka pada awalnya dibebaskan pada tahun 2013 tetapi Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015 membatalkan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan.
Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman mati namun Sirul berjaya melarikan diri dari negara dan berpindah ke Australia ketika keputusan itu dijatuhkan. Dia kemudian ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dan kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood.
Kerajaan Australia hanya akan mengusir Sirul jika Putrajaya boleh berjanji bekas anggota polis itu tidak akan digantung.
Azilah Hadri
Azilah Hadri adalah komander polis dengan pangkat Ketua Inspektor. Dia dituduh bersama Sirul dalam pembunuhan Altantuya. Tidak seperti Sirul yang berjaya melarikan diri ke luar negara, Azilah telah dipenjarakan di Penjara Kajang dan menunggu hukuman mati. Beliau kini sedang memohon kaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensabitkan kesalahannya.
Tidak banyak yang diketahui mengenai Azilah tetapi dia memberi keterangan di mahkamah bahawa dia menerima arahan daripada DSP Musa Safri, yang kemudiannya menjadi pegawai keselamatan aid de camp kepada Najib Razak, sekaligus ditugaskan menjaga rumah Razak Baginda.
Menurut laporan berita, Azilah berjaya berbincang dengan Altantuya dan mengarahkan Sirul untuk menghantarnya kembali ke hotel setelah mereka menjemputnya di hadapan rumah Razak Baginda.
Azilah dikatakan membawa kenderaan berasingan dan mendakwa dia mempunyai alibi berpisah dengan Sirul pada hari kejadian.
Dalam akuan sumpah berkanun yang didedahkan semalam, Azilah menuduh Najib sebagai dalam pembunuhan itu, dengan mengatakan dia menerima arahan daripada Najib untuk menjalankan “tugasan” tersebut kerana wanita Mongolia itu adalah perisik luar negara.
Abdul Razak Baginda
Razak adalah teman rapat Najib dan didakwa bersubahat dalam pembunuhan Altantuya bersama-sama dengan Sirul dan Azilah pada November 2006.
Dia dibebaskan dari tuduhan dua tahun kemudian apabila mahkamah memutuskan bahawa tiada kes prima facie terhadapnya.
Sebagai penasihat Najib, beliau membantu Najib membeli dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta dari Perancis - ketika menyelesaikan urusan itu, dia didakwa berkenalan dengan Altantuya.
Razak didakwa di Perancis pada bulan Julai 2017 dengan tuduhan terlibat secara “aktif dan pasif dalam rasuah” serta “penyelewengan aset korporat.”
Pada bulan Mei 2019, AFP melaporkan bahawa mahkamah rayuan Paris telah menggugurkan tuduhan “rasuah pasif”, namun masih mengekalkan kertas pertuduhan terhadapnya.
Razak didakwa merupakan kekasih Altantuya dan dia memperkenalkan wanita Mongolia itu kepada Najib ketika mereka bertemu di Perancis.
DSP Musa Safri
Musa adalah pembantu kepada Najib ketika pembunuhan itu terjadi. Sebelum pelantikannya sebagai pembantu peribadi Najib, Musa adalah pegawai di unit Cawangan Khas polis.
Beliau telah bersara dari pasukan itu dengan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan Cawangan Khas.
Walaupun terlibat sebagai salah satu saksi utama dalam pembunuhan Altantuya, Musa bagaimanapun tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.
Ketika bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, memfailkan laporan polis baharu berhubung pembunuhan Altantuya pada bulan Jun 2018 - sebulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, bekas ketua polis negara, Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah merakam keterangan daripada Musa.
Bagaimanapun, Fuzi tidak mengulas lanjut dan perkara itu masih belum disimpulkan.
Musa sekali lagi terlibat secara langsung dalam akuan berkanun Azilah, yang dilabel sebagai orang tengah antara Najib dan Azilah.
Lokasi beliau ketika ini tidak diketahui.
PI Bala
P. Balasubramaniam adalah bekas anggota polis yang kemudian menjadi penyiasat persendirian. Dia diupah oleh Razak untuk menghentikan Altantuya daripada mengganggunya.
Balasubramaniam, yang lebih dikenali sebagai PI Bala, menjadi watak utama dalam kematian Altantuya selepas dia membuat akuan berkanun pada 1 Julai 2008 yang menuduh Najib sebagai dalang dalam pembunuhan tersebut. Beliau juga berkata beliau mempunyai maklumat mengenai hubungan seksual antara Najib dan Altantuya.
Bagaimanapun, Bala menarik balik akuan berkanun pertamanya beberapa hari kemudian dan mendedahkan akuan berkanun kedua yang membersihkan nama Najib daripada sebarang tuduhan salah laku. Dia dan keluarganya kemudian meninggalkan negara ini dan menetap di India selama beberapa tahun.
Bala kemudian pulang semula ke Malaysia pada bulan Februari 2013 untuk mengumumkan bahawa akuan berkanun pertama yang dilakukannya berhubung Najib Razak adalah benar. Bala bagaimanapun mengalami serangan jantung sebulan kemudian dan diumumkan meninggal dunia di Hospital Sg Buloh.
Deepak Jaikishan
Deepak Jaikishan adalah usahawan permaidani yang terkenal dengan hubungan rapatnya dengan isteri Najib, Rosmah Mansor. Setahun yang lalu, dalam temu bual dengan sebuah stesen berita luar negara, beliau mendakwa Najib dan Rosmah adalah dalang dalam pembunuhan Altantuya.
Deepak juga berkata beliau mempunyai bukti audio dan video peguam Muhammad Shafee Abdullah dan ahli parlimen Umno Abdul Azeez Abdul Rahim menghalang keadilan terhadap dakwaan PI Bala.
Berikutan tuduhan penglibatan Najib, polis menyoal siasat mengenai kenyataannya kepada media. Siasatan berkenaan kenyataan itu masih berjalan.
Musa Hassan
Musa Hassan adalah ketua polis negara ketika pembunuhan itu berlaku pada 2006. Dalam sidang akhbar pada tahun 2015, beliau memberitahu media bahawa Najib tidak ada kaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia itu.
Beliau juga memberitahu sidang akhbar bahawa beliau tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah membebaskan Razak Baginda. Beliau berkata kemungkinan motif pembunuhan tersebut adalah untuk menghapuskan individu yang melakukan ugutan.
Najib Razak
Najib, yang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah, telah lama dikatakan terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Najib bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan bersumpah dengan Al-Quran bahawa dia tidak pernah bertemu dengan Altantuya.
Walau bagaimanapun, PI Bala mendedahkan dalam akuan berkanun pertamanya bahawa Najib mengenali wanita itu dan mereka pernah melakukan hubungan seks.
Najib dikatakan bertemu Altantuya di Perancis ketika dia dan Razak Baginda sedang melakukan rundingan berhubung pembelian kapal selam. Altantuya didakwa bertindak sebagai penterjemah kerana dia fasih berbahasa Perancis dan Rusia.
Najib tidak pernah dipanggil ke mahkamah berhubung pembunuhan itu walaupun dikaitkan dengan kes tersebut. Dia kini mendakwa tuduhan baru Azilah adalah sebahagian daripada konspirasi oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk menangkapnya. - 17 Disember 2019.
– 17 Disember, 2019.

Komen