ISKANDAR Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) akan memulakan semula projek Bandar Malaysia selepas perjanjian awal dibatalkan pada 2017.
Konsortium IWH-CREC akan membeli 60% kepentingan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd daripada TRX City Sdn Bhd dengan harga RM12.35 bilion, jumlah yang sama dipersetujui pada Disember 2015. Perkara itu diumumkan hari ini pada majlis menandatangani perjanjian projek di Putrajaya.
TRX City adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan. Nilai pembangunan kasar Bandar Malaysia bernilai kira-kira RM140 bilion.
Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan pada April 2019 bahawa projek itu akan dihidupkan semula untuk memastikan hubungan baik berterusan dengan China.
Dalam perjanjian yang dihidupkan semula itu, IWH-CREC akan membuat pembayaran dalam tempoh tiga tahun berbanding tujuh tahun dalam perjanjian asal.
Sebagai tambahan kepada jumlah deposit sebanyak RM741 juta yang telah dibayar pada Disember 2015, IWH-CREC akan membayar tambahan sebanyak RM500 juta sebagai bayaran pendahuluan.
Usahasama IWH-CREC (60:40) pada mulanya ditandatangani pada November 2015 di mana konsortium akan memperoleh 60% pegangan dalam Bandar Malaysia.
Namun perjanjian penjualan saham, yang ditandatangani pada 31 Disember, 2015, telah dibatalkan kerana syarikat usaha sama gagal membuat bayaran pendahuluan selepas 12 kali penangguhan.
Kerajaan Barisan Nasional kemudiannya membatalkan perjanjian itu pada Mei 2017.
Selepas pembatalan, beberapa pihak berkuasa China menamakan pembatalan tersebut sebagai “tidak berterima kasih”, memandangkan syarikat China membeli saham di Bandar Malaysia untuk membantu kerajaan Malaysia yang mengalami masalah akibat hutang 1Malaysia Development Bhd.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyaksikan majlis tandatangan perjanjian itu hari ini, bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Duta Besar China kepada Malaysia Bai Tian dan Presiden China Railway Group Ltd Chen Yun. – 17 Disember, 2019.
Komen