KEAHLIAN kesatuan buruh semakin mengecil ketika ekonomi semakin berkembang.
Namun wakil-wakil kesatuan terus mempertahankan kewujudan mereka yang disifatkan masih relevan pada zaman yang serba canggih pada hari ini.
Menurut maklumat Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), keahlian kesatuan buruh pada 1985 adalah sebanyak 30% di negara-negara OECD. Tetapi angka itu menurun kepada 17% pada 2017.
Walaupun Malaysia bukan sebahagian OECD, tetap trend yang sama berlaku apabila statistik Jabatan Kesatuan Sekerja menunjukkan hanya 6% daripada 14.5 juta tidak mempunyai kesatuan pada 2017.
“Peralihan teknologi dan pengurangan kerja menyebabkan penurunan jumlah keahlian,” kata penolong setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) A Karuna.
“Ketibaan era digital, robotik, kecerdasan buatan dan pengurangan kerja dalam industri perbankan telah mengurangkan keahlian NUBE,” kata ahli majlis Kongres Kesatuan Perdagangan Malaysia itu.
Katanya NUBE sebelum ini pernah memiliki lebih 40,000 ahli, kini hanya mempunyai kira-kira 22,000 ahli sahaja.
Menurut Karuna, situasi itu menjadi lebih buruk apabila ada kalangan bank mengambil langkah mengurangkan kekuatan kesatuan.
“Antaranya seperti mewujudkan kenaikan pangkat kepada pekerja dengan memberi jawatan berbeza sedangkan skop tugasan masih sama.
“Contoh lain, bank mula beroperasi di luar Malaysia seperti di India kerana kosnya yang lebih murah,” kata Karuna.
Namun bagi ahli kesatuan sepenuh masa, pergerakan kesatuan masih relevan walaupun jumlah keahliannya berkurangan.
“Orang ramai tidak sedar tentang perkara ini tetapi kesatuan masih penting dalam memastikan majikan berlaku adil dan mengambil tanggungjawab kepada pekerja mereka.
“Walaupun ekonomi dijangka berkembang lebih pesat, kesatuan masih kekal relevan meskipun ada cabaran untuk menguruskannya,” kata Karuna.
Malaysia mengamalkan sistem buruh tiga pihak yang menyaksikan dasar buruh digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan. Kesatuan sekerja dan persekutuan majikan kemudiannya akan memberi nasihat dan terlibat secara aktif dalam suruhanjaya penasihat kerajaan seperti Majlis Gaji Minimum. – 17 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen