KESATUAN penjawat awam menuntut kerajaan merombak semula kenaikan gaji tahunan dengan menggandakan kadar kenaikan gaji untuk menampung kenaikan kos sara hidup ahlinya.
Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Mohd Razali Singah berkata sistem sedia ada tidak boleh diteruskan lagi.
Jika tidak, seramai 1 juta dari keseluruhan 1.6 juta penjawat awam dari kategori B40 dan M40 akan terus terpinggir dengan kadar kenaikan gaji sedia ada yang terlalu kecil, katanya.
“Kalau sistem ini terus digunapakai, (sistem kiraan gaji) bermakna yang terpinggir akan terpinggir. (Golongan) yang di atas akan terus di atas. Perlu ada perubahan dasar yang baru untuk gaji.
“Ketika ini kenaikan gaji yang ada antara RM95 ke RM100 setahun jadi kalau boleh gandakan 100%. maksudnya minimum kena bermula dengan RM200,” katanya.
Tuntutan itu merupakan antara manifesto Razali yang merupakan calon dalam pemilihan presiden baharu Cuepacs. Keputusan pemilihan itu akan diumumkan pada Khamis.
Dalam sidang medianya hari ini, Razali turut menegaskan bantahan Cuepacs ke atas keputusan memansuhkan skim pencen lantikan tetap penjawat awam.
“Ini agenda utama yang akan saya buat sebaik saja jika saya menang sebagai presiden.
“Cuepacs akan tetap memperjuangkan dan mempertahankan skim pencen untuk setap lantikan tetap. Pendirian kita adalah adalah tolak pelaksanaan itu,” katanya.
Beliau terdahulu berucap di program Penerangan Isu Dan Halatuju Cuepacs – Isu Skim Pencen, Elaun, Cabaran Universiti Dan Penjawat Awam 2020, Gred Terpencil Dalam Kerajaan, Pengukuhan Hubungan Strategik Dengan Kerajaan Dan Ruang Bersuara Untuk Penambahbaikan Cuepacs
Ia diadakan di Universiti Putra Malaysia di Serdang. – 16 Disember, 2019.
Komen