DAKWAAN seperti wujud daulah terpendam dalam perkhidmatan awam merupakan prasangka buruk terhadap kakitangan kerajaan, kata seorang pemimpin kesatuan penjawat awam.
Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Mohd Razali Singah berkata prasangka itu perlu dielak agar perjalanan jentera kerajaan tidak terjejas.
“Situasi ketika ini kerajaan dilihat mempunyai prasangka buruk kepada (penjawat awam). Prasangka buruk boleh jejaskan jentera kerajaan dan ini bermaksud perlu ada sikap saling hormat-menghormati.
“Kerajaan perlu hormati penjawat awam dan penjawat awam hormati kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas satu program penerangan isu melibatkan Cuepacs hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin PH mengenai kewujudan daulah terpendam yang didakwa mensabotaj kerajaan.
Tuduhan berkenaan kini disiasat polis yang memanggil beberapa pemimpin PH termasuk seorang timbalan menteri, R Sivarasa.
Pengaruh daulah terpendam itu dikaitkan dengan tindakan pertukaran beberapa orang ketua setiausaha kementerian yang didakwa tidak bekerjasama dengan menteri.
Terbaru, beberapa pegawai kanan di tiga kementerian lagi akan dipindahkan atas permintaan menteri.
Beberapa pegawai kanan di lima kementerian sudahpun dipindahkan, didakwa sebagai usaha kerajaan PH untuk menangani daulah terpendam dalam perkhidmatan awam.
Dalam sidang media hari ini, Razali turut membangkitkan mengenai mengenai campur tangan pemimpin politik dalam badan itu yang menurutnya menjejaskan kebajikan anggota.
Razali yang juga calon presiden Cuepacs menegaskan, isu melibatkan penjawat awam perlu dibangkitkan oleh Cuepacs dan bukan oleh ahli politik.
“Cuepacs tak jadi macam dulu lagi, tak ada sentuh kebajikan. Orang lain bercakap, ahli politik bercakap, (jadi di mana suara Cuepacs?” soalnya.
Beliau terdahulu berucap di program Penerangan Isu Dan Halatuju Cuepacs – Isu Skim Pencen, Elaun, Cabaran Universiti Dan Penjawat Awam 2020, Gred Terpencil Dalam Kerajaan, Pengukuhan Hubungan Strategik Dengan Kerajaan Dan Ruang Bersuara Untuk Penambahbaikan Cuepacs.
Ia diadakan di Universiti Putra Malaysia di Serdang. – 16 Disember, 2019.
Komen