Matta diberi 30 hari jelaskan isu berhubung mesyuarat tahunan


Alfian Z.M. Tahir

Matta mempunyai cawangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2019.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memberikan tempoh 30 hari kepada Persatuan Pelancongan dan Agensi Pelancongan Malaysia (Matta) bagi menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak perlu dibatalkan, ketika Malaysia sedang bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.

Tindakan tersebut diambil selepas RoS mendapati terdapat beberapa kejanggalan dalam mesyuarat tahunan Matta pada tahun ini.

Badan yang memayungi industri pelancongan tempatan dan agensi pelancongan itu kini berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya.

Dalam surat tuntutan yang dilihat The Malaysian Insight, RoS mendakwa Matta telah melanggar sembilan klausa di bawah perlembagaannya sendiri.

Surat RoS yang bertarikh 12 Disember menyatakan ia bertindak di bawah kuasa yang diberikan kepada pendaftar di bawah Seksyen (2) dan (13) Akta Pertubuhan 1966.

“RoS berhasrat untuk membatalkan pendaftaran organisasi ini 30 hari selepas notis ini disampaikan, melainkan jika ia dapat memberikan alasan yang memuaskan mengapa pendaftarannya tidak perlu dibatalkan,” kata jabatan itu.

Antara klausa yang dikatakan telah dilanggar adalah membenarkan ahli yang sudah tamat tempoh lesen menghadiri mesyuarat tahunan Matta pada 13 Julai 2019; membenarkan setiausaha agung kehormatnya meneruskan tugas ketika kontraknya telah berakhir dan meluluskan kenyataan kewangan Matta cawangan Selangor di mesyuarat agung tahunan.

Matta juga dituduh telah menafikan seorang ahlinya untuk membahaskan resolusi ketika mesyuarat tahunan.

Selain itu, RoS berkata Matta juga membenarkan ahli dari cawangan Kuala Lumpur bertanding dan memegang jawatan di cawangan sepanjang tempoh 2015-2017 sedangkan beliau tidak layak untuk berbuat demikian.

Surat itu ditandatangani penolong pendaftar Zairul Akmal Kasim, dan dihantar ke ibu pejabat Matta yang terletak di Fraser Business Park di Kuala Lumpur.

Salinan surat itu juga dihantar kepada Pengerusi Matta Tan Kok Liang dan bendahari Mohammad Faeez Mohamad Fadhiliah.

Tan dipilih semula sebagai presiden untuk penggal kedua berturut-turut bagi penggal 2019-2021 semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 pada 13 Julai.

Sementara itu, Setiausaha Agung Matta, Nigel Wong ketika dihubungi berkata persatuan itu akan mengeluarkan kenyataan pada hari Isnin untuk menjawab tuduhan RoS.

“Kami akan beri kenyataan rasmi pada hari Isnin untuk menjawab tuduhan itu. Untuk sekarang, tidak ada kenyataan dari Matta,” katanya.

Menurut laman webnya, Matta yang dibentuk pada 1975 mengumpulkan 3,400 ahli yang terdiri daripada organisasi pelancongan dan agensi jelajah tempatan.

Matta mempunyai cawangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Persatuan ini terkenal dengan pesta pelancongan setiap tahun yang membolehkan ribuan pelancong mendapat manfaat percutian murah. – 16 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen