NGO dakwa Dr Mahathir peralat Zuraida, Azmin


Diyana Ibrahim

Otai Reformis menganggap Zuraida dan Azmin tidak ubah seperti kacang lupakan kulit kerana mudah sekali mengkritik Anwar selepas mendapat jawatan penting dalam kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2019.

ZURAIDA Kamaruddin dan Azmin Ali diperalatkan oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan, dakwa sebuah NGO Otai Reformis 1998.

Setiausahanya Abdul Razak Ismail mendakwa demikian berdasarkan serangan dua pemimpin kanan PKR itu ke atas Anwar dalam acara berasingan sewaktu kongres parti berlangsung minggu lalu.

Dakwanya, tindak tanduk timbalan presiden dan naib presiden PKR itu jelas sekali menunjukkan kedua-duanya dipergunakan untuk menghalang Anwar mengambil alih jawata perdana menteri.

“Kita anggap Zuraida dan Azmin sebelah Mahathir. Nampak terang-terang Mahathir tak nak lepas jawatannya kepada Anwar.

“Dan Mahathir jadikan Zuraida dan Azmin  sebagai boneka digunakan Mahathir untuk menafikan hak Anwar sebagai perdana menteri kelapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut menangkis kenyataan Zuraida yang menganggap Otai Reformis 1998 sebagai “NGO nyamuk” yang tak berpengaruh.

“Kumpulan ini ditubuhkan juga kerana perjuangan keadilan untuk Anwar semasa 1998 kalau kata Otai Roini tak relevan memang ada yang tak kena dengan Zuraida,” katanya.

Zuraida menyelar NGO tersebut yang menyarankan agar beliau dan Azmin dipecat kerana didakwa mengaibkan presiden PKR itu dalam ucapan di acara berasingan sewaktu kongres parti minggu lalu.

Dalam ucapan di Majlis Makan Malam Kemakmuran Bersama 2030 itu, Zuraida antara lain mendakwa Anwar cuba meyakinkannya bahawa skandal seks melibatkan Azmin benar-benar berlaku.

Skandal seks itu merujuk kepada siri video aksi seks didakwa memaparkan Azmin yang tersebar sejak Jun tahun lalu.

Azmin menafikan beliau merupakan individu dalam video tersebut dan mendakwa ia sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

Tuduhan skandal seks itu memburukkan lagi perpecahan dalam parti yang sudahpun retak sejak pemilihan PKR pada tahun lalu.

Dalam usaha untuk menyelamatkan parti, Anwar menasihati pemimpin PKR untuk menyalurkan segala kritikan kepada lembaga disiplin, yang disambut oleh Zuraida semalam.

Otai Reformis bagaimanapun tetap menganggap  Zuraida dan Azmin tidak ubah seperti kacang lupakan kulit kerana mudah sekali mengkritik Anwar selepas mendapat jawatan penting dalam kerajaan.

Dakwa Razak, kedua-dua pemimpin itu mempergunakan pengaruh Anwar untuk menumbangkan BN dan kini berubah memburuk-burukkan presiden PKR itu.

“Kita masa awal tak nak campur sangat perbalahan tapi bila beliau mula menyerang jadi kita bertindak.

“Selama ini kita bersabar tapi bila beliau dah mula cemuh parti dan kita nampak parti ini nampaknya segan untuk tegur sesetengah pemimpin atas, jadi kita gunakan platform NGO,” katanya.

Razak seterusnya mendakwa Dr Mahathir masih berdolak-dalik untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar, dengan membangkitkan kenyataan perdana menteri itu di Doha semalam.

Katanya, Dr Mahathir tidak sepatutnya menyerahkan kepada majlis presiden Pakatan Harapan untuk memiulih perdana menteri kerana Anwar sudahpun ditetapkan untuk menggantikannya.

“Kenyataan Mahathir di Doha bila beliau berkata terpulang kepada majlis presiden untuk pilih siapa jadi perdana menteri.

“Macam mana Mahathir boleh buat kenyataan begitu sedangkan sebelum ini perjanjian memang akan diserahkan pada Anwar, kenapa sekarang berdolak dalih,” soalnya.

Dr Mahathir berulang kali memberi jaminan untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Ketika ditanya dalam satu persidangan di Doha semalam antara lain berkata beliau bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan penggantinya adalah yang terbaik.

Bekas presiden Umno itu bertindak menyerang dua orang pengganti beliau, perdana menteri kelima Abdullah Badawi dan juga perdana menteri keenam Najib Razak.

Najib kini dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan salah laku, rasuah dan salah guna kuasa. – 15 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen