Zuraida akan minta Selangor percepat kerja perobohan Highland Towers


Noel Achariam

Kerja perobohan Highland Tower ditangguh kerana kerajaan Selangor masih tidak dapat menyelesaikan masalah pengambilalihan tanah kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2019.

ZURAIDA Kamaruddin akan bertemu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari esok untuk membincangkan status Highland Towers selepas kerja perobohannya ditangguh.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata beliau akan membincangkan bagaimana mereka boleh mempercepatkan kerja perobohan itu.

“Saya akan jumpa beliau esok untuk perbincangan lanjut isu ini.

“Kami harap kerajaan negeri boleh percepatkannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Amirudin dilaporkan sebagai berkata yang perolehan tapak untuk pembangunan semula itu tidak dapat dilakukan sebelum hujung tahun ini kerana kerajaan negeri masih meneliti dokumen berkaitan.

Katanya, rancangan Zuraida supaya bangunan itu dirobohkan dan tapaknya dibangunkan menjadi taman awam hanya boleh dijalankan tahun depan.

“Kami terima surat (daripada kementerian) bulan lepas dan kami sedang berusaha kerana ia melibatkan banyak pihak seperti Jabatan Tanah dan agensi berkaitan.

“Ia akan ambil masa, mungkin antara tiga sehingga empat bulan,” katanya dipetik berkata.

Minggu lepas, Zuraida berkata isu itu kini sudah memasuki fasa perobohan dua blok bangunan sedia ada.

Tambahnya, sekarang terpulang kepada kerajaan negeri untuk meluluskan pengambilalihan tanah yang membolehkan kerja perobohan dibuat.

“Saya sudah minta ia dibuat paling awal hujung 2019. Perobohan di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Harapnya ia dapat dilakukan.”

Penduduk Taman Sri Ukay Hillview, di Ampang, Selangor mempersoalkan bilakan Zuraida akan melunaskan janjinya untuk merobohkan dua blok bangunan itu dan mengubah tapaknya menjadi taman awam.

Mereka juga berharap pihak berkuasa berkaitan dapat memberi taklimat tentang keselamatan dan sekuriti sebelum kerja perobohan dilakukan.

Pembangunan semula kawasan itu dibiayai oleh MPAJ, dan pemaju Highland Towers sudah berjanji untuk menyumbang RM2 juta.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers runtuh, membunuh 48 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Dilaporkan yang tanah mendap selepas 10 hari hujan lebat berterusan, menyebabkan tanah runtuh yang menimpa blok itu. Penduduk dua blok lagi dipindahkan serta merta

Tapak itu terbiar kosong sejak tragedi itu. – 15 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen