JELAJAH untuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dirancang oleh ahli PKR yang setia kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dilihat lebih cenderung menjadi usaha untuk menyokong kumpulan itu, kata pemerhati parti politik.
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata melancong seluruh negara menggunakan platform kerajaan untuk menerangkan dasar kerajaan bertujuan memperkukuhkan kumpulan timbalan presiden PKR berkenaan.
“Adalah pelik apabila seorang menteri menggunakan platform kerajaan untuk menaikkan imej parti mereka. Pasukan Azmin perlu memberi alasan mengapa mereka perlu melakukannya,” katanya.
Beberapa butiran mengenai pameran bergerak WKB 2030 yang bermula pada Januari didedahkan oleh penyokong Azmin dan menteri Kabinet Zuraida Kamaruddin kepada akhbar tempatan minggu lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata jelajah itu akan menjadi lawatan seluruh negara untuk menerangkan dasar WKB 2030 kepada ahli akar umbi PKR dan diketahui oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham. Hilman juga merupakan timbalan ketua Pemuda PKR.
Zuraida juga berkata lawatan itu akan dijalankan di bawah Dasar Komuniti Kebangsaan (NCP) yang dibangunkan oleh kementeriannya melibatkan penduduk bandar.
Naib Presiden PKR itu berkata jelajah akan menggerakkan jentera PKR bagi mempromosikan dasar kerajaan kepada akar umbi.
Pemberitahuan pertama mengenai pameran WKB 2030 itu dibuat pada majlis makan malam dianjurkan oleh kumpulan Azmin di Hotel Renaissance Ahad lepas.
Azmin dan penyokongnya memboikot majlis penutup Kongres Nasional Keadilan selepas menuduh Presiden PKR Anwar Ibrahim melanggar “perjanjian damai” untuk tidak membuat serangan dalam ucapan semasa kongres.
Anwar dalam ucapannya ketika pembukaan kongres sehari sebelum itu menggunakan rujukan Melayu dan menggelar Azmin serta penyokongnya sebagai “pengkhianat”.
Walaupun makan malam itu membawa tema WKB 2030 namun ia digunakan oleh penyokong Azmin untuk mengkritik Anwar dan parti mereka sendiri.
Kongres itu telah dicemari dengan pergaduhan, serangan lisan dan akhirnya tindakan boikot yang dibuat oleh Azmin, Zuraida dan pemimpin lain seperti R Sivarasa, Haniza Talha dan Dr Daroyah Alwi ketika penutup kongres. – 16 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen