Albania tangkap 9 individu selepas gempa bumi ragut 51 nyawa


Banyak bangunan di Albania tidak mempunyai permit yang sah dan tidak mematuhi kod keselamatan sehingga ramai terkorban semasa gempa bumi pada November. – Gambar EPA, 15 Disember, 2019.

SEMBILAN individu ditahan pada Sabtu di Albania kerana disyaki melakukan pembunuhan dan penyalahgunaan kuasa susulan gempa bumi yang berlaku bulan lalu meragut 51 nyawa.

Pendakwa raya berkata 17 orang, termasuk pembina, jurutera dan pegawai disyaki melanggar peraturan bangunan yang menyebabkan keruntuhan bangunan semasa gempa bumi 6.4 magnitud pada 26 November.

Pihak polis masih memburu lapan suspek.

Ketua polis Durres, Lorenc Shehu berkata siasatan awal mendapati banyak perkara tidak mengikut peraturan menjadi punca bangunan runtuh yang membunuh 23 orang di sana.

Durres dan Thumane, di utara Tirana, dilanda gempa bumi yang juga menyebabkan sekitar 900 orang cedera dan 5,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Seorang jurutera yang ditangkap, bekerja di sebuah bangunan Durres yang menyaksikan lapan lapan sekeluarga maut.

Pembinaan bangunan secara haram berleluasa di Albania dengan perkembangan yang kelam-kabut selepas kejatuhan komunisme pada 1990.

Banyak bangunan tidak mempunyai permit yang sah dan tidak mematuhi kod keselamatan.

Gempa bumi itu adalah yang paling dahsyat dalam beberapa dekad di Albania. – AFP, 15 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen