LANGSUNG: Hari ketiga siasatan Suhakam kehilangan 4 individu


Noel Achariam

Bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dipanggil sebagai saksi kelima di Siasatan Awam Suhakam mengenai kehilangan pastor dan tiga aktivis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Oktober, 2017.

SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diteruskan masuk hari ketiga hari ini untuk mendengar mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga yang lain.

Fokus hari ini ialah kepada keterangan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar yang disepina sebagai saksi.

Sejak kehilangan Koh pada 13 Februari, ahli keluarganya sering berkata polis gagal memberi maklumat kepada keluarga mengenai siasatan penculikan itu, yang digambarkan sebagai hampir sama dengan operasi polis.

Suhakam juga menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth yang hilang pada November tahun lalu, dan aktivis Amri Che Mat yang juga dilaporkan hilang sejak tahun lalu.

Tujuan utama siasatan adalah untuk menentukan sama ada ia adalah kes “enforced dissapearance” , istilah yang menggambarkan penculikan melibatkan pihak berkuasa.

Siasatan awam itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Nik Saleh dan diadakan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Menara TH di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. 

Antara saksi yang sudah memberi keterangan ialah anak Koh, Jonathan, isteri Koh, Susanna Liew, Roeshan Gomez yang memandu di belakang kereta Koh dan pengarah Harapan Komuniti G. Sri Ram.

The Malaysian Insight membawakan kepada anda maklumat terkini prosiding itu:

5.00pm: Siasatan awam berakhir dan akan bersambung pada 2 November. Khalid dipanggil semula untuk beri kenyataan pada 21 November.

4.35pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Khalid apakah bukti yang polis temui di rumah suspek yang terbunuh dalam kejadian tembak menembak di Kedah pada 17 Jun.

Suspek didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia serta ada hubungan dengan satu lagi kumpulan di Selatan Thailand.

Khalid berkata polis menemukan bukti mengenai Koh apabila mereka pergi semula ke tempat kejadian untuk menyiasat.

“Polis pergi semula ke tempat kejadian sehari atau dua hari selepas kejadian tembak menembak itu dan menemui gambar-gambar Koh, rumahnya, kenderaan dan nombor pendaftaran.”

Apabila peguam bertanya mengapa polis tidak mencari bukti ketika kali pertama memeriksa rumah itu, Khalid berkata polis nampak bukti itu tetapi tidak mengambilnya kerana ia tiada kaitan dengan kes (penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia).

3.30pm: Peguam keluarga Koh bertanyakan Khalid jika penculikan itu kerja profesional.

Kalid berkata penculikan itu dilakukan dengan terancang tetapi menyangkal dakwaan di media yang beliau menyebut ia dijalankan dengan teliti.

3.05pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Khalid tentang kenyataan isteri Koh, Susanna Liew mengatakan dia kecewa apabila polis menyiasat suaminya kerana memurtadkan orang, dan bukan mencarinya.

Khalid berkata polis bertindak demikian kerana ada laporan dibuat terhadapnya di Perlis.

“Kami menyiasat Koh atas semua aspek. Kami perlu meneliti latar belakang dan semua aktivitinya.

“Kami juga masih lagi menjalankan siasatan utama (penculikan).

2.30pm: Peguam keluarga Koh meminta Khalid menjelaskan tentang mesejnya di Twitter yang meminta aktivis-aktivis sosial tampil ke depan dan jelaskan dakwan-dakwan itu.

Peguam berkata kumpulan aktivis, Caged dibentuk dan membuat kenyataan yang pihak polis tidak berusaha untuk menyelesaikan kes itu walaupun rakaman CCTV. Mereka juga berkata ia mungkin adalah “enforced disappearance”.

Khalid berkata mereka dipanggil kerana membuat tuduhan serius mengenai penculikan itu.

“Apa asas kepada tuduhan mereka?

“Mereka tidak boleh menuduh polis yang menculik Pastor Koh.

“Itu yang saya faham dari kenyataan mereka. Sebab itu mereka dipanggil.

“Kami tiada masalah dengan matlamat mereka.”

1.10pm: Siasatan awam berehat untuk makan tengah hari.

1.02pm: Peguam keluarga Koh berkata tiga kumpulan aktivis sosial membawa ke situ ke Kumpulan Kerja mengenai kehilangan yang dipaksa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan PBB mengkajinya kerana tidak ada tindakan oleh polis.

Khalid berkata sejak 2014 hingga September 2017, sejumlah 10, 207 orang dilaporkan hilang.

“Sejak 2014 hingga kini, ada 751 orang masih hilang.

“Kenapa PBB tidak tanya tentang yang lain. Mereka mengulas mengenai tiada tindakan kerana laporan dibuat kepada PBB.”

12.30pm: Panel menunjukkan Khalid video penculikan pastor Koh.

Peguam keluarga Koh menyoal Khalid bahawa berdasarkan video itu, adakah penculikan dilakukan dengan cekap.

Khalid bersetuju yang ianya dirancang baik tetapi beliau berkata pernah melihat kejadian lain yang lebih terancang.

Apabila peguam bertanya jika semua lelaki yang bertutup kepala dan menaiki tiga SUV untuk menculik Koh melakukannya seperti profesional.

Khalid menjawab mereka yang terlibat mungkin mempelajari semua pergerakan dari filem atau televisyen.

12.05pm: Peguam keluarga Koh menyoal Khalid jika dia beranggapan penculikan pastor Koh itu “satu operasi khas”.

Khalid menjawab tidak.

Peguam bertanya kepada Khalid jika ia adalah tanggapan orang awam, Khalid berkata, ia boleh jadi.

11. 20am: Pegawai Suhakam tanya Khalid adakah dia arah keluarga Koh supaya jangan bercakap kepada media dan menghadiri vigil menyalakan lilin.

Khalid berkata dia ada bertemu keluarga itu sebanyak dua kali dan ketika pertemuan pertama ada meminta mereka jangan bercakap kepada media kerana ia akan menjejaskan siasatan.

“Saya beritahu isteri Koh, Susanna Liew yang kami akan buat apa saja untuk menyiasat insiden itu.

“Saya juga minta kerjasama mereka.”

11.00am: Siasatan awam bersambung semula dengan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dipanggil sebagai saksi kelima.

10.40am: Peguam Majlis Peguam tanya Jonathan adakah dia tahu jika Koh pernah didakwa kerana aktiviti memurtadkan.

Jonathan berkata Koh tidak didakwa.

Pemerhati polis bertanya adakah Jonathan tahu kepentingan dan relevan soalan yang ditanya pegawai penyiasat kepadanya, dan dia kemudian menjawab tidak tahu.

Panel kemudian berehat 5 minit.

10.00am: Pesuruhjaya Mah tanya Jonathan apakah keadaan Koh selepas insiden DUMC pada 2011, di mana pastor itu menerima surat dan dua peluru.

Jonathan berkata pada mulanya Koh tidak tahu keseriusan keadaan itu.

“Selepas beberapa ketika dia risau tentang keadaan itu dan ketika itu kami berpindah rumah sebanyak dua kali sebelum insiden 13 Februari.”

Mah juga bertanya adakah Koh rasa terancam pada 2016 berkaitan kerjanya.

Jonathan berkata pada ketika itu Koh lebih tenang dan dapat melupakan kejadian sebelum itu.

“Satu-satunya insiden pada 2016 ialah bapa saya menerima panggilan ‘prank’. Ada latar belakang bunyi dan sebutan ‘Allah Akbar’.”

9.40am: Peguam keluarga Koh bertanya Jonathan mengenai dia disoal siasat oleh polis pada 13 Februari, 6 dan 23 Mac.

Jonathan berkata kebanyakan soalan polis ialah sama ada Koh terbabit dalam gerakan memurtadkan.

“Polis lebih berminat hendak tahu adakah Koh terbabit memurtadkan orang.

“Saya kecewa kerana mereka tidak berminat tentang penculikannya dan kekurangan maklumat yang diberi.

“Mereka juga tanya tentang lawatannya ke beberapa kampung di Kedah untuk gerakan murtad.”

9.10am: Prosiding siasatan awam bermula hari ini dengan menyambung semula keterangan anak Koh, Jonathan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen