AKAR umbi PKR melihat skandal seks terbaru mengaitkan Anwar Ibrahim hanyalah skrip fitnah sama yang diulang sejak 20 tahun lalu untuk menjatuhkan karier politik presiden parti mereka itu.
Tuduhan seks ketiga yang dihadapi Anwar itu semakin sukar dipercayai oleh anggota parti tersebut, apatah lagi kejadian tersebut didakwa berlaku lebih setahun lalu.
Salah seorang daripadanya, Timbalan Ketua Cabang Keningau, Antakor Rasam yang berkata ahli parti di Sabah sama sekali tidak percaya dengan kes terbaharu dari laporan dibuat bekas pegawai Anwar.
“Kami tidak percaya sebab kejadian sudah setahun. Kalau hari ini berlaku, esok sudah ada laporan orang yakin jugalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Oleh itu kes itu sama seperti tuduhan seks lain yang mengaitkan Anwar katanya sudah bosan dengan cerita seumpamanya dan mahu parti itu terus fokus berkhidmat kepada rakyat.
“Nampak sangat cerita Sodomi 3.0 sebab berulang skripnya. Isu ekonomi lebih penting daripada ini. Orang di Sabah memikirkan satu saja penyelesaian, bila Anwar jadi PM semua akan senyap,” katanya.
Kes tersebut muncul apabila seorang bekas penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther mendakwa majikannya itu melakukan salah laku seksual terhadapnya dalam satu kejadian lebih setahun lalu.
Muhammed Yusoff juga membuat laporan polis menggesa agar tuduhan yang dimuatkannya dalam akuan berkanun bertarikh 19 November itu disiasat.
Laporan polis itu bagaimanapun hanya dibuat lebih dua minggu kemudian, pada 7 Disember, sehari sebelum Kongres Nasional PKR 2019 dilangsungkan.
Dalam dokumen berkenaan, Yusoff yang bekerja di pejabat Anwar dari Sept 2018 hingga Mei tahun ini mendakwa presiden PKR itu cuba memaksanya melakukan seks pada 2 Oktober tahun lalu.
Dakwanya, kejadian itu berlaku di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, yang dinafikan oleh Anwar.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa pada tarikh itu beliau menghadiri satu acara memperingati Mahatma Gandhi dan juga sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil kawasannya.
Sementara itu anggota PKR Perak Hasmizat Hassan pula berpendapat tuduhan basi seperti itu hanyalah mahu mengalihkan fokus parti terbesar dalam Pakatan Harapan itu daripada berkhidmat pada rakyat.
“Orang di bawah dah anggap benda yang basi. Sudah-sudah lah. Cukuplah cerita-cerita ini. Orang penat. Semua tolak kerana bagi akar umbi itu semua isu politik.
“Sepatutnya fokus sekarang adalah kos sara hidup. Harga barang tak turun-turun. Minyak tak murah-murah,” kata bekas ketua cabang dari Perak itu.
Seorang anggota Pemuda PKR dari Selangor Hasnor Ali pula berkata tuduhan bekas pekerja Anwar tidak masuk akal dan hanya berniat untuk menjatuhkan kredibiliti ahli parlimen Port Dickson itu.
“Kita tengok dia buat laporan polis sehari sebelum Kongres. Kita melihat ia ulangan skrip lama dan kita dah tak peduli dengan permainan politik bersifat kotor. Kalau teliti dakwaan pun tak munasabah.
“Kenapa ambil masa lebih setahun untuk buat laporan dan selepas insiden masih bekerja dengan Anwar,” soalnya.
Ini merupakan kes ketiga berkaitan tuduhan seks yang dihadapi Anwar.
Dalam kes pertama yang digelar Liwat I, Anwar dituduh meliwat seorang bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.
Anwar disabitkan dengan kesalahan itu dan dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara.
Pada Ogos 2000 beliau dijatuhi hukuman sembilan tahun penjara atas kesalahan liwat dan hukuman itu dijalani serentak dengan hukuman enam tahun penjara atas kesalahan rasuah.
Kes itu juga mencetus gelombang reformasi dan membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Nasional yang seterusnya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia dan membentuk PKR.
Pada September 2004, Anwar berjaya merayu sabitan ke atas kesalahan liwat itu dan dibebaskan.
Pada 2008, Anwar didakwa dengan tuduhan meliwat pembantunya Saiful Bukhari. Beliau disabitkan dengan kesalahan pada 2015 dan dijatuhi hukuman penjara.
Anwar berjaya mendapat pengampunan penuh ke atas sabitan kesalahan tersebut dan dibebaskan daripada penjara sebaik selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya Mei 2018.
Beliau juga diumum sebagai perdana menteri untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad. – 15 Disember, 2019.
Komen