AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berharap undang-undang bersifat drakonian atau zalim yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan akan dimansuhkan, dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada akan lebih diperketatkan supaya keamanan, keselamatan serta keadilan lebih terjamin.
Undang-undang drakonian yang Maria maksudkan ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).
“Penguatkuasaan undang-undang perlu ada integriti yang tinggi dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Kita juga mesti memperkuatkan undang-undang sedia ada untuk mengekalkan keselamatan dan keamanan serta keadilan,” kata Maria kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga berharap sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru tidak lama lagi, seluruh rakyat Malaysia akan mengetepikan semua perbezaan dan bersatu padu.
“Tak kiralah sama ada tentang rasa tidak puas hati tentang ekonomi, ketaksamaan sosial, ketaksamaan gender atau pembaharuan institusi, saya percaya kita akan temui jalan penyelesaian dan pendekatan baharu terhadap isu yang menekan kita jika kita semua bersatu padu,” katanya.
Maria juga menggesa kepada keterangkuman dan integrasi sosial yang lebih baik untuk mengatasi “politik agama dan kaum” yang memecahbelahkan rakyat. – 14 Disember, 2019.
Komen