SEBAIK selesai memilih calon untuk memegang portfolio menteri kehakiman, Presiden Moon Jae-in kini berdepan satu lagi tugas getir iaitu sama ada perlu mencari pengganti perdana menteri dan siapakah calon yang patut dipilih.
Perdana Menteri Lee Nak-yon dilihat sebagai calon utama pengganti Moon, berdasarkan keputusan pelbagai tinjauan pendapat pada ketika pemilihan presiden seterusnya dijadual dalam tempoh dua tahun lagi.
Lee dilaporkan mahu kembali kepada Parti Demokratik (DP), parti pemerintah untuk membolehkannnya menyertai pilihan raya umum pada 15 April 2020, demikian menurut agensi berita Yonhap pada Sabtu.
Bekas gabenor wilayah selatan Jeolla itu dikatakan sedang berusaha untuk memastikan beliau dapat bertanding. Andai Lee menang di kawasan yang ditandinginya beliau dapat memastikan kedudukannya dalam parti liberal terus kukuh.
Lee muncul perdana menteri paling lama berkhidmat di Korea Selatan sejak sistem pemilihan presiden secara langsung diperkenal pada 1987. Beliau menjadi perdana menteri selepas Moon dilantik sebagai presiden pada Mei 2017.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat desas-desus mengatakan Moon mungkin bakal membuat rombakan Kabinet sebelum akhir tahun ini.
Media tempatan melaporkan kemungkinan terdapat calon untuk menggantikannya.
Sehingga awal minggu ini, Kim Jin-pyo, seorang anggota parlimen DP disebut-sebut sebagai calon pilihan.
Terdapat segelintir pihak mengatakan beliau merupakan calon terbaik pada ketika Korea Selatan berdepan masalah ekonomi memandangkan beliau pernah memegang portfolio menteri kewangan dan timbalan menteri ekonomi selama dua tahun bermula pada 2003.
Beliau juga terkenal mempunyai hubungan baik dengan ramai ahli politik sama ada di pihak pemerintah mahupun pembangkang.
Namun, pencalonannya mendapat tentangan kumpulan sivik yang menyokong dasar liberal dan berpendapat Kim tidak sesuai untuk jawatan itu.
Mereka mendakwa Kim menentang beberapa langkah reformasi ekonomi, termasuk meningkatkan cukai korporat dan menggesa cukai ke atas tokoh agama ditangguhkan.
Keadaan itu menyebabkan Kim mengambil keputusan meminta presiden menggugurkan nama beliau, menurut laporan.
Lantaran itu nama Chung Sye-kyun dari parti pemerintah pula disebut-sebut calon pilihan.
Bagaimanapun. laporan akhbar konservatif menjadikan kariernya sebagai speaker parlimen dari 2016-2018 sebagai alasan untuk mengatakan beliau bukanlah calon yang sesuai.
Calon lain yang turut menjadi perhatian ialah Won Hye-young, juga daripada DP dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Chin Young.
Sesetengah pemerhati tidak menolak kemungkinan Moon akan mengekalkan Lee untuk mengelakkan kontroversi di Parlimen.
“Saya tidak fikir akan ada sebarang pengumuman berhubung jawatan perdana menteri hari ini atau esok,” kata seorang pegawai di pejabat presiden.
Ramai menjangkakan Moon akan membuat keputusan sebelum berlepas ke China untuk menyertai sidang kemuncak tahunan kumpulan pemimpin China dan Jepun pada 23 Disember. – Bernama, 14 Disember, 2019.
Komen