TIGA dekad selepas Operasi Lalang, perasaan trauma ditahan tanpa bicara dan disoal siasat oleh pegawai Cawangan Khas masih menghantui sesetengah tahanan politik terbabit.
“Satu perkara yang sarat di fikiran saya pada masa itu ialah berapa lama kami akan ditahan di sini (Kamunting). Kalau pesalah jenayah, mereka pun tahu tempoh hukuman mereka.
“Susahnya untuk bercakap mengenainya hingga sekarang,” kata seorang daripada empat tahanan wanita, Lim Chin Chin, 61, berkongsi pengalamannya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

Lim, Dr Cecilia Ng dan Dr Chee Heng Leng, pengasas bersama Kesatuan Pembangunan Wanita dan Persatuan Bertindak Wanita, serta Irene Xavier yang bekerja dengan sebuah organisasi pekerja wanita Sahabat Wanita, dituduh menjadi Marxis dan mahu menggulingkan kerajaan menerusi himpunan wanita.
Kumpulan sokongan untuk tahanan dan keluarga mereka kemudian berkembang menjadi organisasi hak asasi manusia Suaram, menjadi satu-satunya perkara yang baik hasil daripada Operasi Lalang, kata Lim.
Irene, 66, berkata dia mengalami penderaan fizikal sepanjang pengalaman pahit 355 hari ditahan antara 1987 dan 1988.
“Mereka kata saya menipu, dan ada kawan saya sudah beritahu kebenaran kepada mereka dan saya saja belum. Kerana itu, IO (pegawai penyiasat) itu jadi marah dan pukul saya,” kata Irene.
“Walau macam mana kuat saya cuba untuk bertahan, saya rasa ada benda tertentu yang mereka buat pada saya dan ia masih mengganggu saya.
“Mereka akan ulang beberapa nama yang anda tidak begitu ingat dan semua kenangan akan jadi segar di fikiran anda.
“Saya berusaha keras pada masa itu untuk melupakan semua nama itu. Saya tidak berjaya ketika 60 hari pertama. Tetapi selepas itu saya dapat lupakan nama orang dengan sangat cepat,” katanya.
Dia diberitahu oleh pegawai Cawangan Khas yang dia seorang pemimpin yang sangat berbakat dan mereka boleh memastikan dia jadi ketua Wanita MIC jika menyokong presiden MIC pada masa itu, S Samy Vellu.
Walaupun selepas dibebaskan, Irene berkata pegawai polis terus mengganggunya dengan datang ke rumahnya di Seremban pada waktu yang tidak sepatutnya dan menjerit-jeritnya namanya sehingga dia keluar.
Bagaimanapun, katanya dia cuba untuk memastikan generasi muda Malaysia tidak mengalami rasa takut yang dihadapinya ketika ditahan tanpa bicara.
“Mungkin dengan penubuhan Suaram, sesuatu sudah berubah. Bekas tahanan (pada masa saya) akan hanya bercakap bila mereka bersama anda, tidak pernah di depan orang lain (seperti malam ini),” kata Irene.
Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim berkata penyoal siasat Cawangan Khas akan berlagak seperti mahu mengadakan perbincangan intelektual dengannya.
“Mereka akan beri ceramah dan kemudian tanya apa pendapat anda. Saya ulang perkara yang sama kepada mereka pada masa itu,” kata Nasir.
Katanya, dia ditahan di bawah tanah bagi 60 hari pertama dan tidak tahu siang atau malam.
“Bila mereka tutup saluran udara, saya tidak boleh bernafas. Ada sekali itu, selama tiga hari, keadaan bergoyang. Selepas saya dibebaskan baru saya tahu daripada seorang kontraktor yang saya ditahan di Bukit Aman,” katanya.
Di Kamunting, Dr Nasir, seorang pakar pemakanan, melakukan aktiviti berkebun, jaga burung pipit yang sakit dan akupunktur.
“Saya ada klinik dan ada pegawai Cawangan Khas jadi pesakit. Saya beritahu mereka pesakit saya di sini. di luar, kita lawan,” katanya.
Dia dibebaskan selepas 15 bulan.
Tan Kah Kheng, seorang tahanan dan jurutera kimia yang berkempen menentang penapisan tanah di Bukit Merah, berkata seorang pegawai Cawangan Khas bercakap tentang membuat ramai orang gila.
Dr Kua Kia Soong berkata setiap orang mempunyai strategi yang berbeza dalam berdepan situasi dalam tahanan, menambah individu daripada parti politik kecil seperti Nasir biasanya lebih kuat berbanding mereka yang datang dari parti politik lebih besar.
Hadiri turut bertanya sama ada tahanan diberi pampasan daripada mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kesengsaraan itu.
“Kami minta Dr Mahathir (Mohamad) untuk minta maaf. Kami tidak mahu dia ditahan,” kata Kua.
Dr Mahathir secara konsisten menafikan bertanggungjawab terhadap Operasi Lalang dan berkata ia diadakan atas desakan ketua polis negara pada masa itu, Hanif Omar dan ketua Cawangan Khas Abdul Rahim Noor. – 30 Oktober, 2017.
Komen