SEPERTI banyak orang lain, Mohd Safarizal Shuib mengambil kesempatan musim cuti panjang akhir tahun untuk bercuti bersama keluarga besarnya, dan kali ini pilihan mereka berkunjung ke Pulau Langkawi.
Beliau membawa 13 ahli keluarga termasuk keluarga adik beradiknya berjalan-jalan ke pulau Mahsuri itu dengan menyewa sebuah banglo inap desa di tepi pantai.
“Keluarga saya besar, jadi lebih jimat duduk di inap desa. Harga satu malam RM300 saja,” katanya, yang menempah banglo itu di aplikasi Airbnb.
“Di inap desa, kami ada ruang tamu dan dapur. Jadi lebih selesa untuk keluarga yang besar… kalau menyewa di hotel, tak dapat semua ini,” kata jurutera berumur 31 tahun yang bekerja di Perlis.
Safarizal adalah antara ribuan pengunjung ke Langkawi pada musim percutian hujung tahun dan cuti panjang persekolahan tahun ini yang tidak lagi memilih untuk menginap di hotel sebaliknya menempah rumah inap desa atau penginapan yang ditawarkan melalui Airbnb.
Tinjauan The Malaysian Insight terhadap lebih 10 pelancong di Langkawi baru-baru ini mendapati rata-rata mereka yang bercuti bersama keluarga besar memilih tinggal di inap desa berbanding hotel.
Inap desa atau “homestay” lazimnya menawarkan penginapan kepada pengembara dan pelancong untuk tinggal berkongsi dengan tuan rumah.
Tidak seperti di hotel, konsep tinggal bersama ini memberi peluang kepada pelanggan untuk mengenali dan memahami budaya setempat selain menawarkan pengalaman yang lebih mesra.
Ia bukan saja popular dalam kalangan mereka yang bercuti bersama keluarga tetapi juga pengembara atau pelancong berkumpulan, misalnya bersama kawan-kawan.
Muhd Fahmi Ishak, 25, pada minggu lalu datang bercuti ke Langkawi bersama lima sahabatnya dari Pulau Pinang.
Mereka juga memilih untuk menyewa sebuah inap desa di kawasan kampung.
“Kalau nak bandingkan bilik hotel dan inap desa, kos semalam tidaklah jauh sangat. Tapi kami pilih tinggal di homestay kerana pengalamannya berbeza kerana pemandangan dan persekitaran kampung.
“Suasananya lebih tenang dan pengalaman dengan kawan-kawan pun lebih mesra,” katanya.

Airbnb tidak memiliki satu unit pun kediaman tetapi jadi orang tengah yang menawarkan perkhidmatan penginapan dengan mengiklankan kepada pelanggan unit bilik atau rumah yang berdaftar dengannya .
Semakan di aplikasi Airbnb menunjukkan ada lebih 300 unit bilik atau kediaman di Langkawi yang berdaftar dengan aplikasi itu, yang menawarkan penginapan serendah RM50 semalam hingga antara RM200 dan RM300.
Perkhidmatan Airbnb yang bermula di San Francisco pada 2008 kemudiannya jadi cukup popular di seluruh dunia sehingga menggugat perniagaan tradisional hotel dan penginapan.
Syarikat yang diasaskan pada 2008 di sebuah apartmen itu kini bernilai AS$31 bilion, berdasarkan penilaian terakhir dua tahun lalu.
Trend menyewa penginapan selain hotel itu menyebabkan pengusaha hotel di pulau legenda di Kedah mengeluh perniagaan mereka merosot, sama seperti keluhan persatuan pengendali hotel seluruh Malaysia sebelum ini.
Sumber pendapatan baharu
Namun bagi seorang bekas pekerja hotel Azmi Rahmat, 39, inap desa menjadi sumber pendapatan baharu kepadanya sejak beberapa tahun lalu.
Beliau mula menyewakan dua unit rumah kayu di Kampung Baru, Ulu Melaka, Langkawi 10 tahun lalu sebelum mengusahakannya sepenuh masa dan mengiklankannya melalui Airbnb.
“Pendapatan sebulan biasanya RM3,000, boleh mencecah RM4,000 tetapi kadang-kala saja,” katanya.
Inap desanya terletak bersebelahan sawah padi dan jauh daripada kesesakan pekan Kuah memberikan keselesaan dan pengalaman yang lain kepada penyewa.
“Konsep inap desa saya berkonsepkan kampung. Tidak banyak hotel yang memberikan pengalaman tinggal di kampung, sebelah bendang padi lagi.
“Saya sendiri pun tinggal di rumah sebelah,” katanya. – 15 Disember, 2019.
Komen