PENGUSAHA hotel di Langkawi mengeluh tidak merasai tempias pertambahan pelancongan ke pulau bebas cukai itu yang meningkat dari tahun ke tahun, malah bilangannya ketara pada musim cuti sekolah.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight peningkatan jumlah pelancong ke Langkawi tidak setara dengan tempahan hotel.
Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati pelancong lebih cenderung menyewa unit kediaman melalui aplikasi Airbnb atau tinggal di rumah inap untuk sekeluarga, berbanding menyewa beberapa buah bilik di hotel.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Kedah/Perlis, Eugene Dass berkata sehingga akhir tahun ini, hotel di Langkawi hanya mencapai tempahan 60% sahaja untuk tempoh setahun.
“Berbeza dengan tahun-tahun sebelum itu, kadar penghunian mencapai 70%-80% lebih-lebih lagi menjelang bulan Disember, tetapi seperti sekarang masih banyak bilik kosong,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Jelas beliau, keadaan itu terasa ketara sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu.
Masalah ini bukan hanya di Langkawi. Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bulan lalu mendedahkan purata kadar penghunian antara Januari dan September 2019 jatuh 4.75% berbanding tempoh sama tahun lalu, bagi hotel di seluruh negara.
Keadaan ini berlaku walaupun ada peningkatan jumlah pelancong sebanyak 4.9% setakat awal Ogos lalu.

Airbnb ialah platform dalam talian yang mempertemukan pelancong atau pengembara dengan pengusaha tempat tinggal, yang kebanyakan pemilik rumah inap atau kediaman persendirian yang menawarkan bilik atau keseluruhan unit.
Namun kemudahan Airbnb, ditambah dengan rumah inap sedia ada yang menawarkan pengalaman suasana tinggal di kampung, mewujudkan persaingan yang tidak adil kepada pengusaha hotel.
Semakan di aplikasi itu menunjukkan ada lebih 300 unit bilik atau kediaman yang berdaftar dengan Airbnb, yang menawarkan penginapan serendah RM50 semalam hingga antara RM200 dan RM300.
Menurut data Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), sejumlah 3.68 juta pelancong datang ke Langkawi pada 2018. Angka itu meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu 3.67 juta pada 2017 dan 3.63 juta pada 2016.
Eugene menjelaskan walaupun tiada data rasmi jumlah pelancong yang memilih Airbnb atau inap desa, jumlah tempahan hotel bagi tempoh tiga tahun yang sama menurun.
“Kita tidak hendak halang mereka (memilih Airbnb atau perkhidmatan inap desa).
“Cuma kita harap kerajaan keluarkan lesen kepada pengusaha Airbnb supaya keselamatan dan keselesaan pelancong terjaga.
“Jika ada perkara buruk berlaku ia akan menjejaskan seluruh industri pelancongan di Langkawi,” katanya.
Antara aspek keselamatan yang dipersoalkan ialah tiadanya kamera keselamatan dan kelengkapan pencegahan kebakaran.
“Ada pengusaha (rumah inap) yang tidak ikut spesifikasi keselamatan bomba,” jelas Eugene.
Di Langkawi, pemilik penginapan Airbnb beroperasi di pelbagai peringkat hartanah, daripada rumah kampung sampailah kepada apartment servis dan banglo.
Tidak seperti pengusaha hotel atau rumah inap berdaftar yang dikenakan lesen perniagaan dan cukai operasi oleh pihak berkuasa tempatan, mereka yang mengusahakan penginapan melalui Airbnb tidak perlu berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan.
Awal tahun ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi memberi amaran kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan penginapan yang tidak berlesen dan berdaftar.
Kementerian juga sudah menubuhkan pasukan petugas khas yang sedang menyiapkan laporan untuk mengawal selia perkhidmatan Airbnb. Keputusan mengenainya dijangka diumumkan awal tahun depan.
Eugene menyambut baik langkah kerajaan. Beliau berpendapat sesiapa saja yang menyediakan perkhidmatan penginapan harus dikenakan cukai, sama seperti peraturan terhadap pengusah hotel.
“Kita minta kerajaan untuk kawal selia perkhidmatan Airbnb dan kenakan cukai kepada mereka,” katanya.

Beliau menyebut potensi pendapatan RM8 juta kepada kerajaan yang terlepas daripada hasil pengusaha penginapan di bawah Airbnb, berdasarkan kajian industri perhotelan di peringkat kebangsaan.
Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak berkata industri perhotelan dan agensi pelancongan sebenarnya terjejas 30% sejak lima tahun lepas selepas kemunculan Airbnb dan trend inap desa yang menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding hotel.
Katanya, walaupun inap desa membantu pelancongan di Langkawi tetapi pengusahanya wajar berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan.
“Hotel dikenakan cukai tetapi Airbnb tidak kena cukai. Ini wujudkan persaingan yang terlampau tidak adil.
“Sesetengah inap desa tawarkan perkhidmatan sewa kereta untuk menarik pelancong, tetapi permit (perniagaan) pun tidak ada,” katanya.
Beliau juga berharap pihak berkuasa menetapkan definisi yang jelas tentang inap desa agar kewujudannya dapat dibezakan dengan hotel.
“Sepatutnya, inap desa perlu ada tuan rumah dan melakukan apa-apa aktiviti kampung.
“Tetapi yang amalkan konsep ini di Pulau Tuba sahaja, yang lain hanya rumah sewa harian,” katanya. – 15 Disember, 2019.
Komen