TIGA program yang dianjurkan oleh pelajar di Universiti Malaya (UM) tahun ini menunjukkan kebebasan akademik – yang dijanjikan oleh pentadbiran Pakatan Harapan – menjadi serampang dua mata.
Di atas kertas, pelajar kini mempunyai lebih bebas untuk membentuk persatuan dan terlibat dalam politik tetapi pada hakikatnya mereka ditekan daripada menggunakan kebebasan itu sepenuhnya.
Ini kerana pengurusan universiti juga kini mempunyai autonomi lebih besar bagaimana mereka menjalankan institusi mereka dan menggunakan kebebasan itu untuk menafikan hak pelajar.
Ketika Kementerian Pendidikan meraikan kebebasan akademik yang semakin meningkat dalam laporannya semalam, pelajar memberitahu The Malaysian Insight bahawa kebebasan itu masih dalam ancaman.
Tahun ini kesatuan pelajar UM mendakwa pengurusan universiti mengancam kebebasan mereka untuk mengadakan ceramah intelektual dengan ahli politik pembangkang dan aktivis asing.
Presiden Persatuan Pelajar UM Mohd Akmal Hazieq Ahmad Rumaizi berkata pihak pengurusan universiti meminta mereka membatalkan undangan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Bulan lepas pihak pengurusan juga mahu mereka membatalkan satu program dengan aktivis Hong Kong dan Taiwan yang dijemput untuk bercakap mengenai pergerakan politik di negara-negara pulau tersebut.
“Dalam ketiga-tiga kes ini, kami telah diberi amaran dari menjemput penceramah ini. Tetapi kami terus ke hadapan dan mengadakan program berkenaan.
“Kami memberitahu universiti ini adalah kebebasan yang diberikan oleh kerajaan dan pihak pengurusan tidak boleh menafikan hak kami mengadakan program sendiri selagi tidak melanggar undang-undang atau Perlembagaan,” kata Mohd Akmal.
Bagaimanapun kesatuan itu menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) kerana mengadakan program bersama aktivis pelajar Hong Kong.
“Saya diberitahu bahawa persatuan pelajar di universiti lain juga berdepan masalah sama dan terpaksa membatalkan jemputan. Tetapi kesatuan di sini tetap teruskan program,” katanya.
Kebebasan baharu, sikap lama
Semalam Menteri Pendidikan Maszlee Malik membuat laporan mengenai pencapaian kementeriannya pada 2019 yang menyenaraikan antara lain komitmen lebih besar terhadap kebebasan akademik yang disekat semasa era Barisan Nasional.
.jpg)
Laporan itu merujuk kepada 20 pemilihan pelajar yang diadakan di institusi awam manakala 17 daripadanya mengadakan 237 forum, rundingan dan pertukaran yang melibatkan pemikir serta ahli politik daripada gabungan pemerintah dan pembangkang.
Beberapa jam selepas laporan itu didedahkan pelajar UM mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat naib canselor mereka meminta kemudahan yang lebih baik dan bayaran lebih rendah.
Protes itu, kata pemimpin pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ray Ming, membuktikan terdapat lebih banyak kebebasan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan berbanding era Barisan Nasional.
“Jika kita melakukan ini semasa era BN, kita semua akan ditangkap,” katanya yang juga terlibat dalam demonstrasi pelajar UM.
Tetapi katanya kebebasan untuk memprotes hanya bermakna jika ia membantu meningkatkan kebajikan pelajar.
Mohd Akmal Hazieq berkata autonomi yang lebih besar menyebabkan pentadbir universiti mencabar pelajar untuk menekan permintaan mereka.
“Apabila kita memberitahu kementerian tentang masalah kita, kementerian memberitahu kita untuk pergi dan berunding dengan pentadbir.
“Tetapi apabila kita bertemu dengan pertadbir, mereka mempersoalkan sama ada kita benar-benar mewakili semua pelajar walaupun orang seperti saya dipilih dalam pemilihan pelajar,” katanya. – 14 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen