PENDUDUK luar bandar tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding mereka yang tinggal di bandar, menurut hasil kaji selidik terbaru oleh badan pemikir.
Emir Research dalam kaji selidik “Dari Akar Umbi: Suara & Harapan Rakyat” cuba mengukur tahap kepuasan responden melalui empat kategori: Ekonomi, Kesihatan & Pengangkutan, Pertanian dan Rumah Mampu Milik.
Bagi bahagian ekonomi, keputusan keseluruhan menunjukkan 36% rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan ringgit, sementara hanya 33% yang berpuas hati.
Secara keseluruhannya, 43% berasa kerajaan telah menguruskan isu kos perkhidmatan kesihatan, manakala 42% berpuas hati dengan usaha kerajaan menstabilkan harga keperluan asas.
Perbezaan antara penduduk di bandar dan luar bandar dalam perkara yang sama menunjukkan jurang yang besar.
Walaupun 45% penduduk bandar berpuas hati dengan kos perkhidmatan kesihatan, hanya 34% rakyat Malaysia di luar bandar berpendapat hal yang sama.
Perbezaan yang sama dilihat berhubung pengendalian ringgit oleh kerajaan dengan 37% responden bandar berpuas hati dengan usaha dijalankan, berbanding hanya 24% di kawasan pedalaman.
Mengenai isu kesihatan dan pengangkutan, penduduk bandar sekali lagi memberi respons positif (40%) ke atas usaha kerajaan untuk memperluaskan penjagaan kesihatan di seluruh negara, berbanding mereka yang di luar bandar (30%).
Perbezaan paling jelas apabila ia menyentuh dasar pertanian, dengan responden luar bandar menyatakan tahap rasa tidak puas hati lebih tinggi terhadap kerajaan.
“Ini tidak mengejutkan kerana penduduk luar bandar akan menjadi kumpulan pertama terkesan dengan isu rantaian bekalan pertanian apabila sektor itu gagal memastikan kecekapan diri dan menyelesaikan masalah pengangguran,” kata Emir Research dalam laporannya mengenai tinjauan itu.
Mengenai persoalan keselamatan makanan, hanya 27% atau rakyat Malaysia di luar bandar berpuas hati, berbanding 41% mereka yang di bandar.
Ketidakpuasan tertinggi di kalangan penduduk luar bandar adalah mengenai masalah gaji minimum (48%), diikuti masalah orang tengah dalam pemasaran produk pertanian (42%) dan pengurusan pengambilan pekerja dan import makanan yang tinggi (41%).
Tinjauan yang melibatkan 1,992 pengundi, dijalankan di 222 kawasan Parlimen dari 5 September hingga 10 Oktober. Margin kesilapannya dianggarkan sebanyak 3%.
Dalam kaji selidik yang sama, Emir Research juga mendapati golongan berpendapatan sederhana dan tinggi lebih menyokong kerajaan PH, sementara responden berpendapatan rendah cenderung kepada Umno-PAS. – 14 Disember, 2019.
Komen