Mahkamah tolak permohonan lucut hak harta Umno Kedah dan Habib Jewels


MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM1.15 juta daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd.

Wang berkenaan dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd masing-masing didakwa menerima wang terbabit  daripada bekas perdana menteri Najib Razak berjumlah RM1.05 juta dan RM100,000.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Abdul Rashid Sulaiman untuk melucut hak wang berkenaan.

“Bagi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, patut ditimbulkan bahawa enam cek dikeluarkan Najib berjumlah RM15 juta, dan dibayar dalam satu jangka masa dalam 2012 dan 2013. 

Permohonan pelucutan hak sekarang berkait kepada baki kedudukan kredit akaun semasa responden yang dibekukan dan kemudian disita pada 25 Jun 2018 yang jumlah dimaksudkan ialah RM1,054,019.22.  

Bagaimanapun, bukti afidavit menunjukkan daripada enam cek itu, pembayaran cek terakhir berjumlah RM1 juta dibuat pada Jun 2013. Baki akhir setakat 30 Jun 2013 hanyalah kira-kira RM1.4 juta sahaja, “ kata Mohd Nazlan dalam penghakimannya.  

Beliau berkata kemudian sebahagian besar daripada wang RM15 juta itu telah dikeluarkan daripada akaun dan bakinya menyusut ke satu jumlah terendah sebanyak RM58,000 pada baki pembukaan semasa 1 Januari 2017. 

“Tambahan pula, dalam empat bulan pertama 2018 sahaja, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, lebih daripada RM27 juta didepositkan dalam akaun responden dalam 44 transaksi dan pada jangka masa sama kira-kira RM26 juta dibayar keluar dalam 203 transaksi.

Secara ringkas, dalam pandangan saya tidak boleh dikatakan bahawa jumlah  lebih sedikit daripada RM1 juta sekarang yang tinggal dalam akaun dan ingin dilucut hak oleh pendakwa raya merupakan sebahagian daripada RM15 juta yang dibayar Najib beberapa tahun lepas, berdasarkan jumlah angka deposit dan pengeluaran yang sangat tinggi dan mengambil kira jumlah baki direkodkan dalam jangka masa selepas deposit RM15 juta dalam 2013 dan penyitaan akaun pada 2018,” katanya.   

Hakim berkata jika beliau menganggap wang RM15 juta adalah hasil daripada aktiviti haram, dan ia dibayar ke dalam akaun terbabit , dalam pertimbangan kebarangkalian tidak boleh dikatakan bahawa jumlah dalam akaun itu yang hendak dilucut hak itu adalah bukti atau sesuatu perkara berkaitan satu kesalahan di bawah Seksyen 4 AMLATFPUA  (Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan  Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram) atau ia hasil daripada aktiviti haram.  

“Dengan ini saya menolak permohonan (melucut hak),” katanya. 

Peguam G.Nadaraja mewakili Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah yang dinamakan sebagai responden.

Sementara dalam kes melibatkan Habib Jewels, Hakim Mohd Nazlan berkata wang yang diterima oleh entiti itu untuk pembelian barang kemas dilakukan dengan suci hati yang menjadi amalan biasa perniagaan responden. 

“Pendakwa Raya juga tidak mempertikaikan transaksi jualan ini dan tiada dakwaan ada pakatan sulit atau sebarang bentuk salah laku daripada pendakwa raya terhadap responden.

Saya juga berpuas hati bahawa tiada sebab bagi  responden untuk mempercayai bayaran dibuat Najib untuk barang kemas dijual oleh responden kepada Najib adalah hasil daripada aktiviti haram.  Transaksi ialah pada 2014 iaitu sebelum dakwaan peranan Najib berkenaan 1MDB  didedahkan kepada umum pada pertengahan 2015. 

“Tambahan pula, tiada bukti bahawa institusi kewangan bagi kedua-dua akaun bank pembayar dan akaun bank penerima yang menyebabkan pengeluaran RM100,000 daripada akaun Najib sehingga responden  membangkitkan  sebarang kebimbangan mengenai transaksi deposit cek itu.  Oleh sebab itu, memandangkan responden menerima RM100,000 dengan suci hati untuk pertimbangan yang bernilai, arahan lucut hak tidak boleh dilakukan di bawah Seksyen 56,” katanya.

Peguam Khoo Guan Huat dan Gooi Yang Shuh mewakili Habib Jewels Sdn Bhd.  

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata beliau telah memfailkan  permohonan pelucutan hak terhadap 41 responden untuk mendapatkan kembali RM270 juta dana berkaitan 1MDB.

Latheefa berkata langkah ini adalah mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang SPRM percaya wang ini telah dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak. – Bernama, 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen