MAHKAMAH Koroner menetapkan 22 Januari untuk sebutan semula prosiding inkues kematian tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Batu Arang.
Koroner Rofiah Mohamad menetapkan demikian kerana keluarga terbabit serta peguam tidak hadir ke mahkamah hari ini dan masih belum menerima dokumen lengkap kes.
Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor Wan Nur Fariha Najwa Wan Azham berkata keluarga sepatutnya hadir kerana sudah dimaklumkan mengenai inkues itu pada hari ini.
“Keluarga tahu sebab kita dah daftar kes, jadi mahkamah tertanya-tanya sama ada mereka berminat atau tidak.
“Sebab itu tadi mahkamah tetapkan semula tarikh baru untuk kehadiran keluarga dan juga untuk serahan (dokumen) berkaitan kes yang masih belum diterima,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Peguam kepada keluarga mangsa, P Uthayakumar pada September lalu menyatakan inkues kes tersebut membuang masa kerana ia tidak akan memberi keputusan yang konklusif.
Jelasnya, inkues berkenaan tidak akan menyebabkan polis didakwa.
Salah seorang daripada tiga lelaki yang ditembak mati ialah suami Moganambal, Janarthanan Vijayaratnam, warganegara Sri Lanka memiliki status penduduk tetap UK.
Turut ditembak mati adalah abang Moganambal, Thavaselvan Govindasamy dan seorang rakan mereka Maghendran Santhirasegaran.
Keluarga pula mendakwa Moganambal berada dalam kereta ketika kejadian tembakan dan kini masih hilang dan tidak dapat dikesan.
Menurut polis, tiga lelaki tersebut terbabit dalam kes samun bersenjata, namun perkara itu dinafikan oleh keluarga terbabit.
Ketiga-tiganya maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis pada 21 September di kilometer 22, Jalan Rawang menghala ke Batu Arang.
Menurut polis, dua daripadanya merupakan anggota kumpulan kongsi gelap 08, dan seorang lagi mempunyai proses pemutihan oleh Jabatan Imigresen pada 2013. – 13 Disember, 2019.
Komen