BUAT pertama kali dalam sejarah Malaysia, sasterawan negara akan diberi elaun penghargaan RM5,000 sebulan.
Mereka ini juga tumpuan program Kementerian Pendidikan yang dipanggil sasterawan@faculti yang bermatlamat untuk menggalakkan interaksi antara tokoh pemikir dengan golongan belia.
Selain itu, universiti juga diberi geran bernilai RM455 juta untuk tujuan penyelidikan melibatkan isu masyarakat.
Ini antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha menggalakkan pemikiran kritis, intelektualisme, kebebasan akademik dan memupuk sikap suka membaca dalam kalangan pelajar, kata laporan menterian itu yang dikeluarkan hari ini.
Usaha-usaha ini merupakan sebahagian daripada Kementerian Pendidikan ke arah pembaharuan sistem pendidikan, melahirkan rakyat berperibadi baik dan menyediakan golongan belia menghadapi dunia pekerjaan.
Mengembalikan semula kebebasan akademik dan autonomi universiti juga menjadi keutamaan kementerian di bawah menterinya, Maszlee Malik.
“Fokus kita ialah untuk mengembalikan universiti kepada tugas hakikinya, iaitu menyelesaikan masalah masyarakat. Setelah itulah, ranking akan datang dengan sendirinya,” kata beliau dalam laporan tersebut.
Sebanyak 237 forum dianjurkan di universiti awam melibatkan golongan pemikir serta ahli politik kerajaan dan pembangkang sepanjang tahun ini.
Bagi mendorong aktivisme pelajar, 20 pemilihan kampus diadakan, dan sebuah kesatuan pelajar bebas ditubuhkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Laporan itu juga menyebut seramai 43 pelajar dilantik sebagai ahli senat universiti di 20 universiti awam.
“Mahasiswa perlu terus kekal menjadi tunggak pembinaan negara. Suara mereka harus mewakili derita rakyat terbanyak.”
Selain itu, Kementerian Pendidikan pada tahun lalu menjalankan 3,703 program gerakan membaca di seluruh negara sebagai usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah “Negara Membaca” pada 2030. – 13 Disember, 2019.

Komen