Beban guru berkurang, akses Internet di sekolah lebih baik


Sheridan Mahavera

Beban kerja guru berkurangan hingga 50% supaya mereka dapat lebih fokus kepada pelajar dan proses menyampaikan pengetahuan, menurut laporan tahunan Kementerian Pendidikan 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2019.

DI bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), beban kerja guru berkurangan hingga 50% supaya mereka dapat lebih fokus kepada pelajar dan proses menyampaikan pengetahuan.

Dan juga, 10,208 sekolah dipasangkan dengan akses Internet berkelajuan tinggi 30 Mbps dan 100 Mbps, sementara 40,450 menggunakan Google Classroom bagi membantu guru memberikan tugasan dan kertas kerja.

Ini antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan pada 2019 untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dan proses pembelajaran dan pengajaran, kata kementerian dalam laporannya bagi tahun ini dikeluarkan hari ini oleh menterinya, Dr Maszlee Malik.

“Reformasi sistem pendidikan bukan hanya dengan mencetak perkataan dalam buku atau dokumen blueprint semata-mata,” kata Maszlee dalam laporan itu.

“Lebih penting dari itu adalah dengan menyantuni para guru iaitu pembina reformasi sistem kita yang sebenar. Saya percaya hanya dengan memberi perhatian kepada warga guru, reformasi sistem kita boleh dipacu dengan lebih baik pada masa depan.”

Bagi memperkasakan lagi pencapaian guru, mereka tidak perlu lagi membuat kertas kehadiran manual sementara pemeriksaan kantin dan kesihatan akan dilakukan oleh kakitangan sekolah yang lain, kata laporan itu.

Seramai 15,565 guru yang mengalami kesukaran di tempat mengajar dan tinggal berjauhan dengan pasangan dan anak ditukarkan untuk kembali dekat dengan keluarga masing-masing.

“Dokumen Pembangunan Guru turut disediakan bagi meningkatkan profesionalisme guru, sementara prosedur operasi standard yang baharu untuk keselamatan guru diperkenalkan,” kata laporan itu.

Untuk mempromosikan lagi pembelajaran sains dan teknologi, kementerian dengan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menubuhkan 100 hab pembuat digital di 100 sekolah.

Laporan itu turut memperincikan pencapaian dalam institusi dan kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Antaranya ialah:

* 96.5% atau 54,798 daripada 61,510 graduan TVET mendapat pekerjaan, sementara 547 kursus menerima kelayakan industri profesional seperti MQA dan ETAC.

* 16,625 kerjasama diadakan antara pusat latihan dan industri, di mana ia langkah penting untuk pelajar mendapat pekerjaan.

* 2,396 pelajar TVET mendaftar dalam program di mana mereka menjadi pelatih di syarikat terpilih ketika masih belajar.

Laporan itu turut menyentuh tentang universiti awam dan sekolah yang mendapat pencapaian baik bagi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan penarafan universiti dunia QS.

Pelajar Malaysia meningkat bagi skor PISA untuk membaca (415), matematik (440) dan sains (438) berbanding 2012. 

Dalam ranking universiti Asia QS, Universiti Malaya di tempat ke-13, Universiti Putra Malaysia (33), Universiti Sains Malaysia (37), Universiti Kebangsaan Malaysia (39) dan Universiti Teknologi Mara (40). – 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen