Lebih banyak kelas, tempat di universiti bagi pelajar memerlukan, kata kementerian


Sheridan Mahavera

Sebanyak 526 kelas bagi murid berkeperluan khas di 75 sekolah sudah dimulakan di seluruh negara, manakala seramai 51,191 pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah berjaya menempatkan diri di universiti awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2019.

SEBANYAK 526 kelas bagi murid berkeperluan khas (MBK) di 75 sekolah sudah dimulakan di seluruh negara, manakala seramai 51,191 pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah berjaya menempatkan diri di universiti awam, menurut laporan Kementerian Pendidikan bagi 2019.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bagi kelas MBK di seluruh negara adalah sebanyak 10,200 kelas.

Pada 2019 juga, seramai 2,636 kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan didaftarkan di sekolah seluruh negara , kata kementerian.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Pendidikan menyenaraikan pencapaian sepanjang tahun ini dalam usaha meingkatkan tahap pendidikan bagi kanak-kanak kurang bernasib baik dan MBK.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata penumpuan kepada murid berkeperluan khas adalah antara matlamat beliau untuk “menerapkan kemanusiaan” - terutamanya bagi murid kurang bernasib baik - sebagai teras utama sistem pendidikan negara.

“Pendidikan berubah begitu pantas. Walaupun kita terpaksa mengejar IR4.0 dan mengajarkan anak-anak kita coding dan alat pendidikan masa depan, tetapi yang akan membentuk negara bangsa kita adalah pendidikan karakter.

“Hanya melalui pendidikan karakter, saling menghormati sesama kaum di negara ini dapat dikekalkan. Oleh sebab itu lah kita menekankan aspek kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati.

“Pendidikan masa depan bukan semata-mata mengenai dunia moden, tetapi juga adalah untuk mengekalkan kemanusiaan,” kata Maszlee dalam laporan tersebut.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan melaksanakan dasar penolakan sifar bagi kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah, tambah beliau.

Menurut laporan kementerian itu, ketika ini terdapat 88,419 MBK berbanding 83,498 murid pada tahun lepas.

Antara pencapaian lain dalam usaha membantu keluarga kurang bernasib baik adalah:

  • 52.8% murid dari golongan B40 ditempatkan di sekolah asrama penuh;
  • 62.06% tempat matrikulasi di universiti awam kepada pelajar dari golongan B40;
  • RM68.1 juta dalam bentuk biasiswa;
  • 4,396 murid keciciran dikesan dan didaftarkan semula ke sekolah;
  • 90% atau 452 daripada 534 sekolah daif dibaiki dan beroperasi semula, manakala 1,216 makmal sains yang usang dipulih semula; dan
  • penyediaan 14,911 tempat bagi MBK, murid Orang Asal, pelajar dari golongan B40 dan atlit di universiti awam.

Kementerian Pendidikan juga melaksanakan beberapa pembaharuan dalam undang-undang dan dasar yang akan memberi manfaat kepada kumpulan ini.

Ini termasuk dua jawatankuasa khas yang akan memantau pendidikan Orang Asli dan keperluan MBK serta murid sekolah dan pelajar universiti.

Kerajaan juga bercadang meminda undang-undang yang mewajibkan murid menamatkan sekolah menengah. Buat masa ini, pendidikan hanya wajib setakat sehingga Tahun 6. – 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen