PENGGABUNGAN operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil masa lebih daripada enam bulan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Sehingga penggabungan itu berlaku sepenuhnya, kedua-dua entiti itu akan beroperasi seperti biasa, sementara menunggu perbincangan dan langkah membatalkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.
“Apabila ia sampai ke Parlimen (untuk dibentangkan), ia akan mengambil masa enam bulan atau lebih kerana kita perlu berbincang tentang struktur baharu,” katanya kepada wartawan selepas hadir pelancaran Hub Kargo Udara GTR di Sepang, hari ini.
Loke berkata demikian ketika diminta mengulas laporan The Edge Markets awal hari ini bahawa Mavcom dan CAAM, agensi yang menguruskan penerbangan awam negara akan digabungkan.
Memetik sumber, laporan menyebut penggabungan itu akan membolehkan pihak berkuasa melakukan kawal selia lebih baik dalam aspek ekonomi dan teknikal sektor penerbangan negara.
Mavcom yang menyelia hal ehwal ekonomi dan komersial ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Mavcom 2015, sementara CAAM yang menyelia aspek teknikal dan keselamatan ditubuhkan di bawah Akta CAAM 2017.
Diminta mengulas dakwaan bahawa Mavcom tidak diajak berbincang mengenai penggabungan itu, Loke berkata rundingan tidak dilakukan kerana ia adalah keputusan Kabinet.
“Kabinet hanya buat keputusan semalam. Setakat saya tahu, awak tak boleh dedah apa-apa sebelum Kabinet buat keputusan.
“Selepas kita dapat kelulusan Kabinet, saya terus arahkan ketua setiausaha saya untuk maklumkan Mavcom.
“Jadi, bagaimana saya hendak bercakap dengan Mavcom sebelum dapat kelulusan?”
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi Eksekutif Mavcom Nungsari Ahmad Radhi berkata tindakan Kementerian Pengangkutan mencadangkan pengabungan tanpa berunding sangat mengecewakan.
“Kita semua di pihak yang sama; kita semua ada kebimbangan sama tentang keadaan dan pembangunan industri di Malaysia, keadaan penyedia perkhidmatan penerbangan, kebajikan penumpang dan keyakinan pelabur. Ada juga isu penurunan taraf CAAM yang perlu ditangani bersama,” kata Nungsari.
Sementara itu, Loke juga mengumumkan kementerian akan membentuk jawatankuasa untuk meneliti pelbagai isu menyentuh soal kebajikan dan kedudukan kakitangan agensi terlibat.
“Kebajikan semua 59 orang kakitangan akan dijaga. Rundingan dan perbincangan akan ambil masa sebelum penggabungan dilakukan.” – 12 Disember, 2019.
Komen