Bajet 2018 kunci permulaan rangka tindakan India Putrajaya, kata Subra


Melati A. Jalil

Presiden MIC Dr S. Subramaniam berkata, bajet ini sejajar dengan janji yang dibuat oleh pemerintah untuk menyediakan masa depan yang lebih baik kepada masyarakat India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2017.

PERUNTUKAN dalam Bajet 2018 adalah penting untuk mencapai matlamat yang disasarkan dalam Rangka Tindakan India Malaysia, kata Presiden MIC Dr S. Subramaniam, hari ini. 

Terdapat enam pelan tindakan sebelum ini yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional namun tiada satu pun yang memberi penekanan kepada komuniti yang kini mencapai populasi 1.8 juta.

Subramaniam yang juga menteri kesihatan berkata bajet menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu seperti pendidikan dan peluang pekerjaan dala kalangan komuniti India. 

“Bajet ini penting kepada kita untuk memastikan sama ada (Rangka Tindakan India Malaysia) akan bermula atau tidak.

“Kami akan meneruskannya untuk 10 tahun akan datang dan saya yakin kami akan membawa transformasi dalam tempoh 10 tahun,” katanya di ibu pejabat  parti itu di Kuala Lumpur hari ini. 

Pada April, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan RM1 bilion akan diperuntukkan kepada pelan itu.

Golongan berpendapatan rendah dari etnik India akan mendapat manfaat daripada suntikan RM500 juta dalam bentuk skim pelaburan unit amanah. Lebih banyak tempat akan diberikan kepada masyarakat India dalam universiti awam, politeknik dan kolej. 

Pelajar masyarakat India akan diberikan bantuan untuk meneruskan pengajian Malaysia. Malah, masyarakat India yang menetap d Malaysia sebelum 1957 akan diberikan kewarganegaraan.

Sementara itu, Bajet 2018 turut memperkenalkan inisiatif baharu kepada komuniti India berjumlah RM1.5 bilion dalam bentuk unit Amanah Saham 1Malaysia, yang dihadkan kepada 30,000 untuk seorang pelabur. 

Ia turut memperuntukkan RM50 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) bagi membantu lebih 35,000 usahawan dan tambahan RM50 juta untuk program pembangunan sosioekonomi komuniti India. 

Subramaniam berkata, bajet ini sejajar dengan janji yang dibuat oleh pemerintah untuk menyediakan masa depan yang lebih baik kepada masyarakat India.

“Oleh kerana mereka mempunyai masa depan yang lebih baik, mereka akan mengundi kami.

“Kami akan bawakan ini kepada akar umbi, untuk memberitahu mereka banyak yang telah kita lakukan dan sekiranya kita tidak laukan ini, kita adalah parti politik yang bodoh,” katanya ketika ditanya sama ada bajet akan membawa undi masyarakat India kepada parti. 

Beliau turut menambah, bajet ini lebih komprehensif untuk masyarakat India berbanding yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan menerusi bajet alternatif. 

“Saya tidak dapat lihat fokus mereka kepada masyarakat India, itu sebabnya saya tidak boleh komen. 

“Keseluruhannya, bajet oleh perdana menteri adalah untuk rakyat dari segenap lapisan masyarakat, dari yang baru lahir, hinggalah kepada warga emas,” katanya. 

Dalam bajet alternatif PH, dana khas untuk meningkatkan bahagian ekuiti masyarakat India akan ditubuhkan serta dana berasingan untuk memupuk usahawan India. – 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen