AHLI akar umbi PKR berbelah bahagi antara menyokong presiden parti Anwar Ibrahim atau timbalannya Mohamed Azmin Ali namun mereka sama sekali tidak rela melihat parti itu berpecah.
Mereka yang menyokong Azmin dan hadir pada majlis makan malam di Kuala Lumpur pada Ahad lalu, beberapa jam selepas selesai kongres nasional parti di Melaka, tidak yakin PKR yang sudah berusia lebih 20 tahun itu akan berpecah.
Dua pemimpin pemuda Rezza Sidik dan Afiz Fahmy menolak spekulasi Azmin dan pimpinan lain yang menyokong sedang merancang untuk menubuhkan sebuah parti baru.
“Tidak akan berlaku sebab kita semua suka parti ini… parti ini dibina oleh pejuang- pejuang dengan air mata, jadi kami rasa tidak mungkin akan berlaku,” kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Ahli PKR Pandan Indah, Aini Mohd Akhil, 49, berkata akar umbi masih yakin dan setia kepada parti biarpun parti sekarang bergelut dengan konflik dalaman.
“Sentimen akar umbi tidak ada masalah, kami tetap sayang parti. Memanglah ada sedikit panas (isu) tapi macam mana pun kami sebagai ahli tetap setia dengan parti,” katanya.
Sentimen sama turut diluahkan ahli PKR Petaling Jaya, Ridzuan Basri, 36, yang menggambarkan timbalan presiden itu sebagai pemimpin setia dengan parti dan presidennya.
“Setengah orang mungkin kata PKR ada perpecahan tapi saya tak nampak begitu.
“Azmin ini seorang yang patuh. Kalau beliau hendak lawan presiden, dari awal beliau dah buat. Beliau sudah 20 tahun dalam parti.
“Persepsi memang tak boleh elak tetapi kita biasa kata kepada ahli supaya mereka tenang dan jangan gusar,” katanya.

Rezza, yang juga ketua Pemuda PKR Bentong, berkata pergeseran dalam parti timbul apabila ada kumpulan yang mahu mempertahankan PKR daripada dirampas oleh satu kumpulan lain yang didakwa cuba menafikan perjuangan kepimpinan lama.
PKR lahir pada 1999 sebagai wadah gerakan Reformasi selepas Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno oleh Dr Mahathir Mohamad, yang kini sekutu politiknya.
Azmin adalah antara pemimpin parti yang setia sejak awal penubuhannya.
Namun kata Rezza ada pihak dalam PKR yang mahu mengeruhkan hubungan antara presiden dan timbalannya.
“Ada individu cuba nafikan hak orang lama. Ada individu atau kumpulan yang tak senang hati dengan hubungan timbalan dan presiden,” katanya.
Katanya, usaha mengeruhkan hubungan itu boleh dilihat selepas Anwar dan Azmin mengadakan pertemuan dalam mesyuarat khas biro politik pada Rabu lalu di bangunan Parlimen, sehari sebelum kongres parti bermula di Melaka.
“Selepas perjumpaan antara presiden dan timbalan, kita tengok memang ada beberapa siri percubaan dan ini bukan dibuat-buat,” katanya.
Rezza berkata keadaan mula buruk apabila puak yang menyokong Azmin disekat daripada masuk ke kongres yang berlangsung pada Jumaat sehingga mencetuskan pergaduhan. Ada dakwaan wujudnya kumpulan “berbaju T hitam” yang diupah untuk membuat kacau.
Kekacauan yang timbul ada kaitan dengan pemecatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap Pemuda PKR seminggu sebelumnya. Pada pagi Jumaat lalu, mereka yang dipecat itu cuba masuk ke dewan untuk mengendalikan kongres tetapi dihalang.
Kekacauan itu merosakkan rundingan antara Anwar dan Azmin yang dipersetujui pada pertemuan dua hari sebelumnya, iaitu tidak serang menyerang antara mereka atau penyokong mereka. Sebagai gantinya, Azmin akan hadir ke kongres dan merasmikan persidangan sayap Pemuda dan Wanita.
Azmin dan penyokongnya bagaimanapun memulaukan persidangan pada petang Jumaat selepas mendakwa perwakilan menggunakan pentas perbahasan untuk menyerang mereka dengan gelaran “pengkhianat”.
Mereka mendakwa serangan itu mengambil isyarat daripada ucapan dasar Anwar pada sebelah pagi yang memetik kisah Si Kitol dan Raja Mandeliar daripada teks Sejarah Melayu.

Kumpulan Azmin menganggap analogi tersebut menyinggung pertemuan menteri hal ehwal ekonomi itu dengan beberapa ahli Parlimen pembangkang di kediamannya pada baru-baru ini, yang dikatakan membincangkan peruntukan untuk pembangunan.
Pertemuan itu berlangsung ketika Azmin kuat mendukung Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk sepenggal penuh, sekali gus melewatkan peralihan kuasa yang dijanjikan kepada Anwar untuk jadi perdana menteri kelapan.
“Ada segelintir perwakilan yang menyerang keperibadian kepimpinan lama dan ini tindakan tidak bermoral.
“Jadi kita mahu beri sokongan kerana ada yang cuba nafikan pengorbanan kepimpinan lama,” kata Rezza, mengulas pertemuan di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Afiz, 35, setiausaha Pemuda PKR Shah Alam, pula berkata rata-rata pemimpin pemuda yang datang pada makan malam Ahad lepas merupakan perwakilan yang tidak dapat masuk ke kongres tahunan parti.
“Kita bukan nak melawan presiden namun program ini sebagai platform kepada kita yang dihalang masuk, kita sebagai perwakilan sah tapi dihalang,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan majlis itu “kongres kedua” namun mengaku ada “isu panas” yang hendak disuarakan oleh mereka yang hadir.
Majlis pada malam itu dinamakan sebagai Majlis Makan Malam Kemakmuran Bersama, diatur kononnya untuk Azmin menjelaskan dasar ekonomi kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini.
Bagaimanapun majlis kemudiannya bertukar menjadi pentas mengkritik Anwar dan pengikutnya, yang dilihat begitu taasub dengan peralihan kuasa perdana menteri kelapan.
Azmin dalam ucapannya pada malam itu, di hadapan lebih kurang 2,000 hadirin meluahkan rasa kesal kerana kongres PKR dua hari di Melaka gagal mengupas hala tuju parti yang digariskan oleh Anwar dalam ucapan dasarnya.
Beliau juga kesal kongres itu gagal menyentuh isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat seperti soal ekonomi, perumahan dan pekerjaan sebaliknya dijadikan pentas untuk menyerang pemimpin parti.
Selain Azmin, beberapa pimpinan kanan PKR yang berucap pada majlis itu ialah Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Ali Biju dan Tian Chua serta Timbalan Ketua Pemuda Hilman Idham dan Ketua Wanita Haniza Talha.
Ridzuan memberitahu The Malaysian Insight majlis makan malam adalah pentas untuk timbalan presiden berucap selepas beliau tidak berbuat demikian di kongres.
“Tidak ada yang luar biasa dengan itu, memang ia permintaan anggota sendiri dan kebetulan penyokongnya ramai hadir,” katanya.
Malah beliau menegaskan budaya kritik subur dalam parti dan PKR sesungguhnya sebuah parti yang terbuka.
“Hanya PKR saja yang presidennya boleh ditegur,” katanya. – 12 Disember, 2019.
Komen