KERAJAAN Negeri Sembilan akan menempatkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Beliau berkata pegawai SPRM ini akan dipinjamkan kepada kerajaan negeri.
“Perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui bersama semasa kunjungan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya ke pejabat beliau baru-baru ini. Cuma sekarang kita masih mencari bilik (pejabat) yang sesuai untuk ditempatkan pengawai SPRM berkenaan.
“Tujuan penempatan pegawai SPRM ini ialah untuk memudahkan kita merujuk dan mendapatkan pandangan mengenai kes rasuah. Ini juga akan membantu kerajaan negeri bagi memastikan dan mengawal berlakunya rasuah di pejabat kerajaan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata penempatan pegawai SPRM ini memang beliau alu-alukan dari peringkat awal lagi cadangan ini di mana ia akan dilaksanakan di beberapa kerajaan negeri lain.
“Saya harap dapat mencari sebuah bilik yang sesuai untuk pegawai berkenaan menjalankan tugas dengan selesa. Pegawai SPRM ini akan memberi nasihat, cadangan dan pandangan mengenai rasuah.
“Usaha SPRM adalah pencegahan rasuah… jadi, kita akan cuba buat pencegahan rasuah. Beliau bertanggungjawab memantau semua jabatan dan agensi kerajaan negeri,” katanya. – Bernama, 11 Disember, 2019.
Komen