TIMBALAN Presiden Pakatan Harapan Muhyiddin Yassin hari ini menasihatkan segelintir pemimpin dalam gabungan itu agar menamatkan pertikaian mereka demi negara.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin, Muhyiddin berkata, pakatan pemerintah sepatutnya memberikan keutamaan kepada prestasi mereka dan bukan pertikaian dalaman.
“Saya tidak mahu sebut mana-mana pemimpin. Lebih baik hentikan segera pertelagahan dan cari penyelesaian untuk bekerjasama.
“Kita perlu bersatu untuk bantu kita memberi lebih baik kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan program bantuan banjir NGO Anak Muda ke Pantai Timur di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persengketaan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali.
Ahad lalu, Anwar berkata beliau tiada niat untuk memecat Azmin walaupun terdapat gesaan daripada perwakilan pada kongres yang diadakan hujung minggu lalu.
Anwar berkata, tiada pemimpin parti yang bersetuju atau memberi maklum balas berhubung perkara itu dan beliau sendiri terbuka untuk berbincang dengan Azmin.
Muhyiddin berkata, rakyat kini menumpukan kepada apa yang kerajaan Pakatan lakukan untuk mereka.
“Mereka mahu melihat apa kerja yang kita lakukan dan bukan pertikaian dalaman.
“Ini (pertikaian dalaman) menyebabkan mereka bimbang kerana kita adalah kerajaan yang menjadi tempat mereka bergantung.
“Mereka ingin tahu bagaimana kita pulihkan ekonomi, mengatasi masalah kos sara hidup, menyediakan kebajikan dan peluang pekerjaan.”
Beliau berkata, banyak program yang dimulakan oleh PH namun ia masih belum mencapai jangkaan.
Ahad lalu, Azmin turut menolak cadangan untuk membentuk parti baharu, dan mengulangi kenyataan beliau akan tetap bersama PKR dan akan cuba mencari penyelesaian antara dirinya dan pimpinan.
Katanya, beliau sedia untuk menyelesaikan salah faham dengan Anwar sekiranya dipanggil oleh presiden parti itu.
Azmin sebelum ini dibidas kerana gagal menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) dan mesyuarat biro politik sejak pemilihan parti tahun lalu, hingga mencetuskan khabar angin mengenai hubungannya dengan Anwar.
Bulan lalu, timbalan presiden PKR itu mengadakan mesyuarat dengan beberapa ahli Parlimen pembangkang di kediamannya, dipercayai perbincangan untuk mengekalkan kuasa Dr Mahathir Mohamad dan menafikan Anwar sebagai perdana menteri.– 11 Disember, 2019.
Komen