LATHEEFA berterima kasih atas penghormatan dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepadanya sehingga beliau tidak rasa janggal walaupun sebagai seorang wanita di tengah-tengah organisasi yang majoritinya lelaki.
Dalam wawancara dengan Bernama Radio hari ini, Latheefa yang menjadi wanita pertama memimpin agensi anti rasuah itu turut mempertahankan wataknya yang dianggap garang.
“Itu adalah reputasi saya, itu tidak boleh elak. Saya rasa memang apabila seorang perempuan atau wanita menjadi ‘bos’ banyak gelaran yang tidak boleh disebut di sini akan digunakan sebagai rujukan termasuk cerewet, meroyan.
“Namun, saya bersyukur kerana meskipun dikelilingi hampir 95 peratus pegawai kanan lelaki yang agak berusia (mereka) menunjukkan satu tahap profesionalisme yang tinggi.
“Sehingga sekarang saya tidak pernah merasakan tindakan seksis,” katanya.
Latheefa juga berharap lebih ramai wanita akan diberi tanggungjawab menggalas jawatan sebagai pegawai kanan dalam SPRM.
“Saya ingin lihat kesamarataan gender dalam kalangan pegawai kanan dan hendak lihat lebih ramai pegawai kanan wanita. Insyallah akan umum dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut Latheefa, wanita yang memimpin sesebuah organisasi akan lebih mengutamakan kebajikan orang bawahannya.
Katanya, wanita juga mampu melakukan banyak tugas pada suatu masa, sama seperti peranan mereka dalam keluarga sebagai ibu, isteri dan anak.
“Kalau seseorang wanita bekerja pada masa yang sama ada anak-anak dan ini menunjukkan daripada mula mereka sudah diberi latihan untuk melakukan pelbagai kerja dalam satu tempoh masa.
“Konsep yang sama akan diaplikasikan oleh wanita dalam konteks kerja harian.
“Sesiapa yang pernah bekerja di bawah ketua wanita dan lelaki akan tahu perbezaannya,” katanya dalam temubual itu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Latheefa berkata akan membuka semula beberapa kes siasatan rasuah yang sudah ditutup.
“Saya akan meneliti semua kertas yang ditutup, sekiranya tiada alasan kukuh untuk menutup sesuatu kes saya akan arahkan untuk membukanya semula,” katanya.
Latheefa dilantik menerajui SPRM bermula pada 1 Jun lalu.
Pelantikannya mencetuskan kontroversi kerana didakwa tidak dirujuk kepada jawatankuasa parlimen, dan juga kerana Latheefa adalah bekas ahli PKR. – 11 Disember, 2019.
Komen