MALAYSIA harus mengubah sikap untuk menerima golongan transgender dan tidak lagi melihat mereka sebagai orang yang perlu dipulihkan, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mohd Hishamudin Md Yunus.
Katanya, kegagalan masyarakat menerima hakikat bahawa golongan itu tidak boleh dipulihkan menyebabkan diskriminasi yang meluas dan keganasan terhadap mereka.
Ini menyebabkan nasib mereka menjadi isu hak asasi manusia yang serius, kata bekas hakim Mahkamah Rayuan itu.
Beliau mencadangkan agar Malaysia mencontohi Indonesia untuk melihat bagaimana sebuah negara majoriti Muslim melayan golongan transgender dengan saksama.
Hishamudin menyebut tentang golongan agama yang membuka sekolah pondok Pesantren Waria Al-Fatah di Yogyakarta di Jawa Tengah pada 2008, khusus untuk golongan transgender.
“Jika di Malaysia, pengamal agama sekiranya menghadiri forum untuk golongan ini, biasanya mereka hanya bercakap mengenai rehabilitasi atau pendekatan kasih sayang untuk transgender kembali ke jantina asal,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2019, semalam.
“Itu silap kerana mengikut terma perubatan, transgender adalah sesuatu yang akan kekal dalam diri mereka sepanjang hayat,” katanya, yang pernah mengadili kes penting mengenai transgender di Mahkamah Rayuan.
Hishamudin sedar pandangannya akan menyinggung perasaan golongan agama dan ulama. Namun beliau mengingatkan bahawa pandangannya itu disandarkan dari perspektif perubatan.
“Mereka perlu faham, dari perspektif perubatan, mereka (golongan transgender) tidak boleh berubah kembali ke lelaki atau wanita normal.
“Golongan ulama yang perlu menerima kewujudan jantina ketiga ini dan pihak berkuasa serta kerajaan juga perlu keluar dari radar kejahilan dalam mengiktiraf transgender ini.
“Bagi menghormati hak asasi transgender, wad hospital, lokap dan tandas perlu diwujudkan untuk golongan ini.
“Hentikan diskriminasi ke atas mereka,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini memutuskan ia tidak akan mengiktiraf golongan transgender sebagai “kecelaruan mental”.
Dalam sebuah kes syariah di Negeri Sembilan yang menarik perhatian umum pada 2014, perunding pakar jiwa Dr Deva Dass menggambarkan transgender Muhammad Juzaili sebagai “seorang wanita yang terperangkap dalam tubuh seorang lelaki”.
Juzaili dan dua yang lain didenda oleh mahkamah syarikat kerana berpakaian seperti wanita.
Mahkamah Rayuan dalam keputusannya, yang diputuskan oleh Hishamudin dan dua hakim lain, sebaliknya memihak kepada mereka. Mahkamah Rayuan berpendapat peruntukan dalam enakmen syariah mengenai transgender bertentangan dengan kebebasan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Hishamudin, beliau merasakan kerajaan baharu Pakatan Harapan kelihatan menerima golongan transgender dan kurang mendiskriminasikan mereka.
Bagaimanapun beliau juga mengakui banyak lagi yang boleh dilakukan kerana isu ini masih lagi tabu dalam masyarakat.
“Perasaan dan pendapat saya mengatakan begitu, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Mujahid dari masa ke masa.
“Kita sedang bergerak dalam landasan yang betul sekarang,” katanya.
Hishamudin mengakui masyarakat masih menolak dan meminggirkan golongan transgender kerana faktor agama dan budaya, namun menjelaskan bahawa agama jugalah jalan penyelesaiannya.
“Isu ini masih lagi satu taboo dalam negara ini. Saya tahu kita masih belum bersedia untuk menerima golongan transgender ini.
“Tetapi, jika anda mendalami Islam pasti ada penyelesaiannya. Islam adalah agama yang menekankan kasih sayang, belas kasihan dan keadilan.
“Jadi tunjukkan semua nilai ini kepada transgender juga,” katanya. – 11 Disember, 2019.
Komen