INSTITUSI kewangan Malaysia adalah pembiaya ketiga terbesar bagi syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu di rantau ini, dengan memberi pinjaman AS$2.3 bilion (RM9.57 bilion) antara 2015 dan Ogos tahun ini, menurut laporan.
Laporan bertajuk “A Review of Sustainable Finance Reforms in Indonesia” terbitan bersama Rainforest Action Network (RAN); badan NGO Tuk Indonesia, Jikalahari, Walhi dan Profundo dari Belanda.
Laporan kajian mendedahkan syarikat yang terlibat dalam kebakaran hutan 2019 menerima pinjaman dan jaminan berjumlah AS$19 bilion (RM79.04 bilion).
Sumber kewangan terbesar diperolehi dari bank di China, Indonesia, Malaysia, Taiwan, Singapura dan Jepun.
Daripada jumlah tersebut, bank-bank di Malaysia memberi AS$2.3 bilion (RM9.57 bilion) dalam bentuk pinjaman dan jaminan kepada 17 syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran 2019, antara 2015 dan Ogos tahun ini.
Ini menjadikan ia pembiayaan kewangan ketiga terbesar selepas China (AS$5.8 bilion) dan Indonesia (AS$4.5 bilion), kata laporan itu.
“Maybank memberi pinjaman AS$1.2 bilion dan Kumpulan CIMB memberi pembiayaan kewangan sekurang-kurangnya AS$750 juta.
“CIMB telah menyatakan hasratnya untuk mengikuti piawaian dan inisiatif antarabangsa. Ia merupakan antara Penandatangan Pengasas Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar PBB Bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab yang merangkumi komitmen untuk menghentikan pembiayaan bagi aktiviti penebangan hutan selewat-lewatnya 2020.
“CIMB tidak mendedahkan dasar alam sekitar, sosial dan pentadbiran korporat (ESG) yang selaras dengan matlamatnya,” menurut laporan itu. – 11 Disember, 2019.
Komen